X
Rabu, 1 April 2020 | 11:37am
KETUA Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop. - Foto ihsan LZS
KETUA Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop. - Foto ihsan LZS

COVID-19: LZS agih bantuan khas RM14 juta

SHAH ALAM: Pembayaran bantuan khas COVID-19 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan dilaksanakan sehingga 3 April ini membabitkan hampir 29,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM14 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata daripada peruntukan itu juga seramai 9,000 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf akan menerima bantuan khas sebanyak RM500 dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM4.5 juta.

Katanya, bantuan sebanyak RM500 akan turut diberikan kepada 20,000 penjaja dan peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

“LZS akan turut mengagihkan wang zakat sebanyak RM1 juta kepada hospital kerajaan dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD), petugas barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor.

“Ia membabitkan pembelian alat pelindung diri (PPE) kepada hospital dan PKD serta makanan kepada petugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saipolyazan, berkata sebelum ini, sebanyak RM15 juta sudah diagihkan bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan kepada golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Beliau menyeru masyarakat Islam untuk terus menunaikan zakat melalui LZS secara atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet.

“Ini secara langsung dapat bersama-sama LZS membantu golongan yang terjejas disebabkan COVID-19 terutama golongan asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung dengan bantuan disalurkan oleh LZS pada masa ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X