Rabu, 1 April 2020 | 9:37pm
Zuraida (kanan) menjalankan proses sanitasi nyah cemar di masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam, Kajang, Isnin lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Zuraida (kanan) menjalankan proses sanitasi nyah cemar di masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam, Kajang, Isnin lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Operasi nyah cemar KPKT wajar disokong

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan operasi nyah cemar adalah langkah efektif yang turut dilaksanakan di negara lain demi memberikan yang terbaik untuk rakyat.

Tindakan KPKT yang diketuai Menterinya, Zuraida Kamaruddin adalah selaras dengan tindakan sanitasi awam yang dilakukan di negara lain mengikut situasi semasa dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Mengambil kira kejayaan China, negara itu berjaya mengawal epidemik ini di negaranya menerusi tindakan melakukan sanitasi awam dalam skala besar di Wuhan.

Pakar Perubatan dan Kardiologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Dr G Shathiskumar, berkata itu antara pendekatan negara luar menangani pandemik COVID-19, berikutan prosedur nyah cemar itu dilakukan dalam skala peperangan di seluruh dunia.

“Selain China, hampir semua negara yang terbabit dalam pandemik ini melakukan sanitasi awam. Antaranya India, Dubai, Sepanyol, Itali, United Kingdom, Russia, Korea Selatan, Jepun, Turki dan Thailand.

“Cecair kimia itu mampu membunuh kuman disembur di kaki lima, jalan raya, lif, pemegang tangga, tandas, tempat ibadat, gedung beli-belah, pangsapuri dan lain-lain.

“Kerja pembersihan terperinci dilakukan di dalam bangunan bangunan awam,” katanya mengulas usaha KPKT mendapat kritikan pelbagai pihak.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 19 Mac lain ada mengeluarkan garis panduan interim mengetengahkan cara pengurusan air, sanitasi, kebersihan dan sisa buangan bagi COVID-19.

“Dalam garis panduan itu, jangka hayat virus itu di atas permukaan berlainan adalah berbeza dan ia mampu hidup beberapa jam hingga sembilan hari di permukaan berbeza, bergantung kepada suhu, kelembapan udara dan juga ‘viral strain’.

“Garis panduan interim ini tidak memberi panduan mengenai sanitasi awam, malah carian di internet mendapati garis panduan atau protokol yang lengkap untuk ‘Public sanitization for COVID-19 tidak wujud.

“Pada masa sama, tiada kajian sains membuktikan sanitasi awam tidak berkesan. Hal ini kerana pandemik ini berlaku kali pertama dalam sejarah dunia era moden dengan dunia berdepan pandemik besar dan kita wajar langkah bersifat “cuba dan nilai ’ untuk membendung wabak ini,” katanya.

Katanya, sanitasi awam fasa pertama di negara ini buat dilaksanakan di zon merah yang didapati mempunyai kluster kes COVID 19.

“Pada hemat saya ia adalah tindakan tepat dan sesuai. Fasa kedua boleh diteruskan di zon jingga juga secara berperingkat.

“Cecair kimia nyah cemar yang digunakan pula adalah cecair disinfeksi yang disahkan dan diberi piawaian oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Dalam situasi pandemik, di mana kita belum mempunyai garis panduan lengkap, kita perlu lakukan semua tindakan yang boleh membantu membendung wabak dan sanitasi awam ada salah satu caranya.

Sementara itu, beliau berpendapat kritikan sewajarnya bersifat objektif dan mengandungi cadangan penambahbaikkan.

“Kritikan ala serangan politik perlu dielakkan. Kita boleh berpolitik selepas tamatnya wabak ini.

“Lagipun, Menteri KPKT dalam wawancara televisyen, mengambil sikap terbuka dan bersetuju untuk berunding dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas isu berkenaan untuk menambahbaik aktiviti sanitasi awam dan memberi penjelasan atas kos dan tenaga kerja yang terbabit dalam aktiviti sanitasi awam.

“Jika operasi sanitasi awam tidak membebankan dana rakyat dan menggunakan tenaga kerja yang sedia ada, saya menyokong usaha ini dan saya juga memberi cadangan pihak KPKT dan KKM membuat satu protokol yang mengandungi panduan lengkap menjalankan sanitasi awam pada masa masa hadapan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X