X
Rabu, 1 April 2020 | 10:13pm
Jenazah diurus kakitangan hospital tanpa ahli keluarga. - NSTP/Ihsan Pembaca
Jenazah diurus kakitangan hospital tanpa ahli keluarga. - NSTP/Ihsan Pembaca

COVID-19: Waris digalakkan solat jenazah ghaib

JOHOR BAHRU: Seluruh umat Islam di negara ini dan waris pesakit COVID-19 digalakkan menunaikan solat jenazah ghaib bagi pesakit yang meninggal dunia akibat pandemik itu.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut, berkata ia boleh dilakukan di rumah masing-masing sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, yang sedang dikuatkuasakan sehingga 14 April ini.

“Tiap-tiap yang hidup pasti menemui kematian, maka berlaku ujian kita iaitu kematian akibat COVID-19. Jadi, saya mencadangkan selepas kita semua mengetahui ada kematian (akibat COVID-19) dan pasti dikebumikan mayat itu, maka semua umat Islam digalakkan menunaikan sembahyang jenazah ghaib di rumah masing-masing untuk si mati disebabkan COVID-19 ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Noh berkata, walaupun ahli keluarga berdukacita atas kematian itu, namun ia mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat di mana ramai umat Islam akan mengadakan solat jenazah ghaib untuk si mati.

“Bayangkan kalau kematian biasa, biasanya yang hadir (melakukan solat jenazah) hanya paling tinggi 200 orang dan jarang sekali sembahyang ghaib, tetapi apabila berlaku kematian disebabkan COVID-19, apa kata umat Islam di Malaysia bersembahyang jenazah untuk si mati ini… pahalanya berganda-ganda,” katanya.

Beliau turut menasihati waris mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19 supaya bersabar dan tidak berpanjangan dalam bersedih kerana kehidupan mesti diteruskan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X