Khamis, 2 April 2020 | 3:14pm

COVID-19: Kuarantin rakyat pulang dari luar negara di semua pintu masuk negara

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kuarantin wajib ke atas rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ini mulai esok akan membabitkan semua kemasukan melalui jalan darat, laut dan udara serta ketibaan di semua pintu sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebaik tiba di pintu sempadan, semua akan dibawa dengan bas terus ke pusat kuarantin yang ditetapkan.

Katanya, ada pasukan khas yang mengendalikan rakyat Malaysia yang di bawa ke pusat kuarantin yang ditetapkan itu.

"Hari esok, 3 April bermulanya kuarantin wajib kepada masyarakat kita yang pulang dari luar negara, juga sesiapa sahaja yang masuk ke negara ini.

"Mereka akan dikuarantin selama 14 hari di pusat kemudahan kuarantin yang disediakan.

"Pasukan khas ini akan menjaga kebajikan rakyat kita yang dikuarantin termasuk mengendalikan makan, minum dan kemudahan lain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada sidang media khas selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X