Jumaat, 3 April 2020 | 10:31am
Sebanyak 97 lokasi outlet FAMA dan LLP akan beroperasi di seluruh negara sebagai Pasar Segar Terkawal. Foto/BERNAMA (2020) FAISAL JAAFAR
Sebanyak 97 lokasi outlet FAMA dan LLP akan beroperasi di seluruh negara sebagai Pasar Segar Terkawal. Foto/BERNAMA (2020) FAISAL JAAFAR

97 pasar segar terkawal beroperasi sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 lokasi outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara akan beroperasi sebagai ‘Pasar Segar Terkawal’ (PST) bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekapkan pengedaran makanan negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjelaskan konsep jualan dan pengedaran di outlet peruncitan terpilih ini membabitkan penjualan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

Katanya, ia dilaksanakan secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sejak 1 April lalu hingga 14 April ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“FAMA diperuntukkan untuk membuka 63 lokasi outlet di seluruh negara iaitu 10 pasar tani terpilih, 33 pasar tani kekal, 17 pusat operasi FAMA dan tiga MyFarm Outlet.

“Manakala LPP turut menyediakan 34 Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (KPPK) untuk tujuan yang sama dengan semua 97 lokasi ini akan dijenamakan semula sebagai PST, ” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, bagi fasa pertama pelaksanaan PST, sebanyak 37 outlet FAMA di seluruh negara sudah beroperasi sejak semalam membabitkan 17 buah pusat operasi FAMA, 17 buah pasar tani kekal dan tiga buah MyFarm Outlet.

Selain itu, katanya, 17 buah KPPK yang diselia oleh LPP turut beroperasi membabitkan jumlah keseluruhan beroperasi sebanyak 54 buah.

“Bagi fasa kedua, sebanyak 10 pasar tani terpilih dan 16 pasar tani kekal akan beroperasi. Pasar tani terpilih akan beroperasi sebanyak dua kali seminggu dari jam 8 atau 8.30 pagi hingga 11.00 pagi atau 12.00 tengah hari.

“Pasar tani kekal, MyFarm Outlet dan pusat operasi FAMA akan dibuka seawal 8.00 atau 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari atau 4.00 petang setiap hari, ” katanya.

Selain itu, FAMA turut memfokuskan pengedaran bekalan makanan yang berkesan di sepanjang tempoh PKP dengan memperkemaskan lagi konsep jualan secara atas talian melalui portal Agrobazaar ‘online’ dan ‘offlline’ melalui rangkaian outlet pemasaran terpilih.

Katanya, pelanggan digalakkan untuk melayari portal www.agrobazaar.com.my untuk membuat pesanan awal atau menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ secara pra pesanan dan membuat bayaran terus secara atas talian bagi memudahkan urusan pengambilan dan urusan pandu lalu di outlet pemasaran terpilih.

“Hal ini bagi menjaga penjarakkan sosial yang dinasihatkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Jarak sosial di antara gerai yang berniaga akan dilakukan sementara pintu masuk dan keluar akan dikawalselia oleh pihak berkuasa.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk membuat bayaran secara dalam talian dan tanpa tunai samada melalui pembayaran QR Pay dan e-wallet supaya dapat membendung penularan wabak COVID-19 melalui wang kertas, ” katanya.

Katanya, setiap outlet pemasaran FAMA ditetapkan untuk mengikuti SOP yang digariskan bagi pengunjung yang ingin mendapatkan bekalan makanan semasa tempoh PKP iaitu kenderaan diletakkan di kawasan khusus, pengunjung beratur dengan jarak satu meter dan melepasi saringan suhu.

Selain itu, katanya pengunjung harus menggunakan pembasmi kuman yang disediakan semasa masuk dan keluar serta masa dibenarkan membuat pembelian selama 10 hingga 20 minit sahaja.

“Bagi pengguna yang membuat pembelian secara pandu lalu, antara SOP yang perlu dipatuhi ialah kenderaan memasuki kawasan perniagaan, borang tempahan diserahkan kepada pengguna sebelum diserahkan kepada petugas dan menunggu di kawasan yang disediakan

“Bagi pengguna yang membuat pra pesanan melalui portal Agrobazaar Online atau media sosial, SOP yang perlu dipatuhi oleh pengguna antaranya pesanan dibuat melalui platform media sosial, pesanan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, penghanataran dibuat pada hari berikutnya dengan bayaran melalui dalam talian atau tunai,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X