Jumaat, 3 April 2020 | 12:57pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

COVID-19: Pakej stimulus bantu promosi, pengiklanan IKS

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membantu usahawan dan pemilik perniagaan untuk mengekalkan operasi menerusi pelaksanaan inisiatif promosi serta pengiklanan bernilai RM7.65 juta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bantuan itu dilaksanakan melalui Pakej Stimulus Industri Kecil Sederhana TV Al-Hijrah (PSIKS-TVAH).

Beliau berkata, TV Al-Hijrah yang merupakan agensi di bawah jabatannya, membantu usahawan mengadakan promosi serta pengiklanan menerusi rangkaian penyiaran itu.

Katanya, pakej PSIKS-TVAH itu membabitkan jumlah RM30,000 bagi setiap usahawan yang ingin menyiarkan produk mereka untuk pemasaran.

“Penularan COVID-19 memberi impak ketara kepada ekonomi negara, termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan antara nadi utama negara, sehingga menyebabkan kebanyakan pengusaha gulung tikar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulkifli berkata, ramai dalam kalangan usahawan yang menjalankan perniagaan di kedai, tidak mampu menanggung kos operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan kerana tiada pelanggan.

Beliau berkata, masalah itu juga menyebabkan peniaga kekurangan bajet untuk mengadakan promosi melalui pengiklanan produk mereka.

“Atas rasa tanggungjawab dan menyahut seruan Musa’adah COVID-19, TV Al-Hijrah melancarkan program ini yang akan dimanfaatkan pelbagai kategori pengusaha IKS terdiri daripada segmen kosmetik, makanan kesihatan, agensi pelancongan dan umrah, perkhidmatan, fesyen, peralatan rumah dan lain-lain,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X