Jumaat, 3 April 2020 | 5:30pm
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada sesi lawatan ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 yang berisiko rendah di MAEPS. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada sesi lawatan ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 yang berisiko rendah di MAEPS. - NSTP/Saifullizan Tamadi

COVID-19: Penggunaan katil pesakit capai 40 peratus

SERDANG: Penggunaan katil oleh pesakit COVID-19 di 40 hospital khusus bagi rawatan penyakit itu di seluruh negara, kini mencapai tahap 40 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata setakat ini, sebanyak 6,917 katil disediakan bagi pesakit COVID, 410 katil bagi rawatan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan 634 ventilator.

“Jumlah pesakit dirawat kini berjumlah 3,116 orang, manakala 767 sudah sembuh.

“Kemudahan untuk mereka yang memerlukan rawatan rapi juga mencukupi, termasuk ventilator.

“Ini menunjukkan perkhidmatan kesihatan negara mampu menangani wabak ini dari segi ubat dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Mengenai pusat itu pula, Dr Adham berkata, ia adalah sebahagian daripada pelan mitigasi kerajaan menghadapi wabak berkenaan, dan dipastikan mencukupi berdasarkan anggaran yang munasabah jika jumlah pesakit COVID-19 meningkat.

Bagaimanapun setakat ini, katanya, hospital dan kemudahan lain seperti institut latihan Kementerian Kesihatan yang dikenal pasti, masih dapat menampung jumlah pesakit.

Beliau berkata, selain keperluan seperti katil, meja, kerusi, tandas dan capaian Wi-Fi, pusat yang mampu menempatkan 604 pesakit di dua dewan itu turut menyediakan perkhidmatan lain seperti diet dan sajian pesakit, kaunseling psikososial, kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta X-Ray.

“Hanya pesakit COVID-19 yang stabil, tidak mempunyai gejala dan ada simptom ringan akan ditempatkan di sini.

“Pesakit dari sekitar Lembah Klang dan jika perlu, dari Negeri Sembilan dan Perak juga boleh dipindahkan ke pusat ini bagi meneruskan rawatan serta pemerhatian sehingga sembuh sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, keperluan seperti katil untuk pesakit sudah sedia sepenuhnya di pusat yang diilhamkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dan hanya memerlukan sedikit tambahan bagi kelengkapan perubatan, sebelum boleh beroperasi.

Sementara itu, Dr Adham turut menerima sumbangan merangkumi penyediaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) untuk pusat kuarantin berkenaan yang bernilai RM1 juta, manakala RM100,000 disumbangkan kepada Tabung Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan.

Sumbangan diberikan penyedia perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat tempatan, HeiTech Padu Berhad (HeiTech), dan disampaikan Presiden serta Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X