Jumaat, 3 April 2020 | 11:17pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: Kontraktor ditahan hina polis di laman sosial

LANGKAWI: Seorang kontraktor ditahan di sini, hari ini, selepas memuat naik status menghina polis menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pada jam 3.10 petang di rumahnya.

Katanya, lelaki itu dikesan membuat status mendakwa anggota polis berehat di sebuah gerai di Pantai Chenang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Suspek yang menggunakan nama ‘Ruffles Ridges’ dikesan memuat naik kata-kata berbaur fitnah berserta gambar dalam kumpulan ‘Langkawi Sana Sini’ di Facebook.

“Sebenarnya gambar itu dirakam ketika anggota polis makan tengah hari selepas membuat rondaan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, status terbabit kemudian mendapat komen dan persepsi negatif netizen terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas memantau PKP.

“Siasatan awal mendapati suspek berada di kawasan awam, sekali gus telah mengingkari PKP kerana berada di luar rumah tanpa alasan munasabah.

“Dia ditahan dan disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dia juga turut disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X