Sabtu, 4 April 2020 | 9:36pm
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar

2,298 rakyat Malaysia masih terkandas di 47 negara

KUALA LUMPUR: Seramai 2,298 lagi rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 47 negara, susulan penularan COVID-19 atas pelbagai sebab.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata antaranya disebabkan melancong, urusan keluarga atau bercuti, selain tiket penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan berikutan sekatan perjalanan.

Beliau berkata, jumlah paling tinggi rakyat Malaysia terkandas di India dengan 1,016 orang, diikuti Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).

Katanya, hari ini empat penerbangan masing-masing tiga sewaan khas dan satu komersial dijadual membawa pulang 429 lagi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk pasangan masing-masing ke tanah air.

“Dua penerbangan sewaan khas Malindo Air tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masing-masing pada jam 4.15 pagi serta 4.15 petang tadi, membawa 270 rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy, India.

“Baki dua lagi penerbangan membawa rakyat Malaysia yang terkandas dari Nepal dan Vietnam, dijadual tiba di KLIA, masing-masing pada jam 8.05 malam serta 10.30 malam ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya giat menyelaras usaha membawa pulang baki rakyat negara ini yang masih terkandas di India, memandangkan jumlah warganegara Malaysia tertinggi terkandas di sana.

“Sebanyak tiga penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada esok dan Isnin ini. Sehingga jam 5 petang tadi, seramai 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India berjaya dibawa pulang,” katanya.

“Kami mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk bersabar dan memahami bahawa proses membawa rakyat kita pulang memerlukan rundingan dan kadang-kadang memakan masa.

“Kementerian Luar sentiasa komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara akan terus diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata, 22 rakyat Singapura yang turut menaiki penerbangan sewaan khas dari Nepal, dengan dibiayai MIC, tidak menjalani kuarantin di Malaysia sebaliknya dibawa pulang menerusi pesawat khas sejurus tiba di KLIA.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang bekerja keras membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Ini termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City.

Berita Harian X