Ahad, 5 April 2020 | 1:37pm

COVID-19: Pasangan dari Malaysia cuba bunuh diri di lapangan terbang

TIRUCHI (INDIA): Satu insiden mencemaskan dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchi, membabitkan cubaan membunuh diri oleh sepasang suami isteri dari Malaysia.

Pasangan berusia 55 dan 65 tahun itu dikatakan kecewa apabila mendapati nama mereka tidak berada dalam senarai penumpang penerbangan khas untuk pulang ke Malaysia.

Mereka tiba di lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan khas berkenaan, namun gagal berbuat demikian.

Pasangan itu yang didakwa kecewa dengan layanan diterima, dilapor cuba membunuh diri menggunakan pil tidur tetapi tindakan mereka berjaya dihentikan pihak berkuasa.

Sumber memberitahu, pegawai bertugas dan pihak berkuasa mengadakan rundingan bersama syarikat penerbangan bagi mendapatkan slot untuk pasangan itu.

“Kami tidak tahu bagaimana nama mereka tercicir daripada senarai penumpang.

“Isu ini sudah dibangkitkan kepada syarikat penerbangan dan pegawai yang prihatin berusaha memasukkan nama kedua-dua mereka ke dalam senarai,” katanya.

Pesawat penerbangan khas itu berlepas dari Tiruchi pada jam 10.35 pagi tadi (waktu tempatan) dengan membawa pasangan suami isteri terbabit dan 152 penumpang lain.

Ia adalah penerbangan ketiga diaturkan Kerajaan Malaysia, minggu ini, bagi membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Tiruchi, susulan pandemik COVID-19. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X