Ahad, 5 April 2020 | 6:46pm

COVID-19: 1,000 keluarga etnik Rohingya kehabisan makanan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 1,000 keluarga etnik Rohingya di sekitar daerah Selayang, berdepan masalah kehabisan bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Ketua komuniti Rohingya yang berkhidmat dengan Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (HASS), Rafik Shah Mohd Ismail, berkata rata-rata etnik Rohingya yang menerima gaji harian, sudah kehabisan wang selepas hampir tiga minggu tidak bekerja susulan PKP.

“Rata-rata etnik Rohingya di Selayang dan Gombak menjadi pekerja pembersihan, mengutip besi buruk atau bekerja di warung dengan gaji harian.

“Sejak PKP berkuat kuasa, mereka tidak boleh bekerja dan bermakna tiada wang untuk mereka membeli makanan dan minuman, termasuk ada yang sudah sehari atau dua hari tidak makan,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Terdahulu, Rafik Shah bersama beberapa anggota sukarelawan yang juga warga Rohingya, menghantar 100 pek makanan terdiri daripada beras, bihun, mi segera, minyak masak, sardin, kacang dal dan gula kepada 100 keluarga di Kampung Sungai Chinchin dan Kampung Sri Makmur di Gombak.

Antara pelarian Rohingnya beratur untuk mendapatkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (Human Aid Selangor) kepada pelarian Rohingnya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di sekitar Gombak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, HASS sudah membelanjakan hampir RM60,000 hasil sumbangan orang ramai, bagi membantu 1,000 keluarga Rohingya yang kehabisan bekalan makanan sejak minggu pertama PKP dikuatkuasakan.

Jelasnya, setiap pek makanan yang diberikan boleh bertahan sekitar seminggu bagi satu keluarga dan selepas tempoh itu, dia dan 20 sukarelawan yang digelarnya kumpulan ‘fisabilillah’, akan kembali membantu mereka yang kehabisan makanan, selagi PKP masih dikuatkuasakan.

Sepanjang memberi sumbangan itu, Rafik Shah yang mendapat kebenaran pihak berkuasa, mematuhi prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan memastikan mereka yang menerima bantuan menjaga penjarakkan sosial.

Beliau turut mengingatkan warga Rohingya untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan duduk di rumah, selain memakai topeng muka jika perlu keluar dari kediaman.

Rafik Shah menzahirkan kekhuatiran jika etnik Rohingya yang kelaparan tidak dibantu, mereka mungkin akan keluar merayau mencari makanan untuk keluarga masing-masing, sekali gus meningkatkan risiko menjangkiti atau dijangkiti COVID-19.

Antara pelarian Rohingnya beratur untuk mendapatkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (Human Aid Selangor) kepada pelarian Rohingnya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di sekitar Gombak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Antara pelarian Rohingnya beratur untuk mendapatkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (Human Aid Selangor) kepada pelarian Rohingnya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di sekitar Gombak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

“Saya sebelum ini yang membawa 93 warga Rohingya yang hadir ke himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling sebelum ini, untuk menjalani ujian saringan.

“Buat masa ini belum ada yang positif coronavirus. Jumlah yang hadir ke himpunan tabligh itu adalah 93 orang, bukan 200 atau 2,000 yang diuar-uarkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua anak, Jamilah Esup, 21, memberitahu selain kehabisan bekalan makanan, rata-rata etnik Rohingya di Kampung Sri Makmur berdepan masalah membayar sewa rumah.

“Keluarga saya sudah kehabisan makanan, susu dan lampin anak. Kami juga bingung bagaimana mahu bayar sewa rumah berjumlah RM400 sebulan,” katanya, memaklumkan suaminya sebelum ini memperoleh gaji RM50 sehari dengan bekerja di warung berdekatan.

Abdul Subi, 28, pula bimbang jika perintah PKP dilanjutkan kerana sudah tiada wang untuk menyara anak dan isterinya yang sedang mengandung anak keduanya.

“Kami bersyukur HASS datang membantu. Saya berharap wabak ini berakhir cepat dan dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya.

GOMBAK 05 APRIL 2020. Pelarian Rohingnya berdoa selepas menerima barangan keperluan yang disumbangkan oleh Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (Human Aid Selangor) kepada pelarian Rohingnya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di sekitar Gombak. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Berita Harian X