Isnin, 6 April 2020 | 11:03am
ATM disyorkan mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman. - Arkib NSTP
ATM disyorkan mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman. - Arkib NSTP

Syor gunakan Nuri semula hantar bantuan pedalaman ketika PKP

ALOR SETAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyorkan mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, berkata semua 12 helikopter Nuri sudah ditamatkan perkhidmatannya seperti diumumkan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, Januari lalu.

Katanya, berikutan itu semua operasi ketenteraan ketika ini dilakukan sepenuhnya menggunakan helikopter EC725 termasuk bagi menghantar bantuan makanan kepada penduduk terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya difahamkan TUDM hanya memiliki 12 helikopter EC275 yang perlu beroperasi di seluruh negara termasuk bagi kegunaan ketenteraan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebagai langkah interim, penggunaan 12 helikopter Nuri yang ditamatkan perkhidmatan sebelum ini boleh diaktifkan kembali terutamanya bagi membantu rakyat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, helikopter Nuri yang mahu diguna sementara ini perlu dipastikan sudah menjalani penyelenggaraan yang lengkap dan tidak membahayakan anggota ATM,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ackbal sebelum ini, mengumumkan operasi 12 helikopter milik TUDM ditamatkan berikutan pesawat berusia 50 tahun itu terlalu uzur dan kos penyenggaraannya terlalu tinggi.

Mengulas lanjut, Nor Ibrahim berkata, antara kelebihan Nuri adalah kemampuannya mengangkut muatan sehingga lebih lima tan dan mampu terbang maksimum enam jam setiap kali isian penuh bahan bakar.

“Rekod membuktikan Nuri sudah banyak berkhidmat kepada negara dan perkhidmatannya boleh diguna semula ketika negara berhadapan cabaran dalam mengawal jangkitan COVID-19.

“Kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada EC725 kerana helikopter itu juga perlu diselenggara menyebabkan hanya lapan atau 10 pesawat boleh beroperasi ketika ini.

“Dalam situasi semasa, Nuri boleh dioperasikan sementara kerana kemampuannya mengangkut bantuan makanan, ubat-ubatan dan anggota perubatan ke kawasan yang sukar dimasuki kenderaan darat,” katanya yang berpengalaman menerbangkan Nuri lebih 10 tahun.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X