Isnin, 6 April 2020 | 1:59pm
Kementerian Pendidikan disaran hanya membenarkan sesi persekolahan diteruskan semula selepas penularan COVID-19 pulih sepenuhnya. - Arkib NSTP
Kementerian Pendidikan disaran hanya membenarkan sesi persekolahan diteruskan semula selepas penularan COVID-19 pulih sepenuhnya. - Arkib NSTP

COVID-19: Sesi persekolahan dicadang dipinda

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran hanya membenarkan sesi persekolahan diteruskan semula selepas penularan COVID-19 pulih sepenuhnya bagi mengelak gelombang baharu wabak itu.

Ia bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan murid dan guru sentiasa terjamin, selain mengelak berlaku penularan gelombang baharu COVID-19.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata kementerian juga perlu mendapat pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi menetapkan tarikh permulaan sesi persekolahan.

Katanya, setiap operasi adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, selain Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan pandangan semua pihak, termasuklah pentadbiran sekolah, guru dan ibu bapa.

"Kajian juga menunjukkan beberapa negara seperti Singapura terpaksa akur menutup semua sesi persekolahan selepas cubaan untuk membenarkan ia dijalankan seperti biasa.

"Pelajar akan menduduki peperiksaan perlu diberi keutamaan, jika sesi persekolahan dibuka seawal Jun depan, selain Kementerian Pendidikan perlu fokus kepada subjek memerlukan bimbingan guru, khususnya Sains dan Matematik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azizee berkata, sesi persekolahan perlu dijalankan di kawasan bebas wabak, selain dewan orang ramai milik kerajaan wajar dipertimbangkan sebagai pusat pembelajaran sementara.

Bagi melancarkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid, katanya, pembelajaran digital dan akses penyampaian ilmu melalui siaran TV Pendidikan perlu dioptimumkan.

"Ini bagi memastikan pergerakan murid terhad tidak melebihi lima kilometer, membabitkan antara 10 hingga 30 orang, selain Kementerian Pendidikan perlu menentukan guru berhampiran untuk mengajar antara dua hingga empat jam selama tiga hari seminggu.

"Kerajaan juga perlu meningkatkan capaian internet di luar bandar selain menyediakan insentif bantuan peranti pintar kepada murid yang memerlukan.

"Semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum membabitkan perhimpunan perlu dibatalkan bagi memastikan keselamatan dan penjarakan sosial semua murid dan guru terjaga.

"KPM juga perlu menstruktur semula format soalan bersesuaian, selain Lembaga Peperiksaan Malaysia boleh menentukan subjek tertentu diuji secara atas talian manakala selebihnya dilaksanakan di pusat peperiksaan dengan SOP ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz turut menyuarakan pandangan sama dan meminta KPM merombak semula sesi persekolahan dengan pengubahsuaian cuti akhir tahun.

Ini kerana, katanya, kejayaan dalam memutuskan rantaian COVID-19 masih belum dapat dipastikan 100 peratus, sejurus tempoh PKP tamat.

"Kesesakan jalan raya, pasar raya, pergerakan rentas daerah dan negeri serta penggunaan pengangkutan awam secara mendadak akan berlaku sebaik tempoh PKP tamat.

"Selain itu, sejauh mana penjarakan sosial dapat dilakukan sebaiknya dalam kalangan murid dan guru di sekolah apabila sesi persekolahan bermula," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X