Isnin, 6 April 2020 | 3:34pm
Norazean Mohd Nor, 45, menemani anaknya Muhammad Danish Haqeem Abd Halim, 17, dan Muhammad Farish Haqeem Abd Halim, 12, menonton Siaran TV Pendidikan yang bermula hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Norazean Mohd Nor, 45, menemani anaknya Muhammad Danish Haqeem Abd Halim, 17, dan Muhammad Farish Haqeem Abd Halim, 12, menonton Siaran TV Pendidikan yang bermula hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kandungan hari pertama TV Pendidikan dapat pujian

PASIR MAS: Langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan Televisyen (TV) Pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19, mendapat reaksi positif ibu bapa dan murid.

Pendidikan menerusi saluran baharu Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Okey itu yang bermula hari ini, dilakukan secara berjadual untuk semua murid terutama yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Norazean Mohd Nor, 45, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Chiku di Gua Musang, berkata inisiatif oleh Kementerian Pendidikan itu adalah langkah terbaik, malah dapat menarik minat anak-anaknya untuk belajar walaupun dalam tempoh PKP.

“Pagi ini, anak saya, Muhammad Farish Haqeem Abd Halim, 12, memulakan pembelajaran pertamanya melalui TV Pendidikan dan dia teruja menimba ilmu dengan cara baru.

“Malah, saya turut serta bersama anak melihat sendiri cara pembelajaran ini. Sebagai pendidik, saya berpendapat setiap penerangan serta visual yang disampaikan mudah difahami selain diterangkan secara terperinci.

“Sebagai contoh, untuk sesi pertama bagi calon UPSR, pada jam 9 pagi hingga 9.26 pagi ini, memaparkan pembelajaran subjek Bahasa Melayu (Penulisan) yang diterangkan lengkap dengan contoh pendahuluan, isi kandungan serta penutup sama seperti dalam kelas,” katanya yang tinggal di Kampung Bunut Susu, di sini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, memaklumkan sesi pembelajaran melalui TV Pendidikan menawarkan siri latihan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan, khususnya yang tidak mempunyai akses internet.

Norazean yang juga ibu kepada lima cahaya mata berusia tiga hingga 18 tahun, berkata lebih memudahkannya adalah apabila setiap peringkat pembelajaran disediakan mengikut saluran berbeza, iaitu saluran 601 untuk UPSR, 602 bagi PT3, manakala 603 disediakan kepada calon SPM.

“Sebagai guru, sebelum ini saya mengambil inisiatif menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berhubung dengan murid bagi memastikan sesi pembelajaran tetap diteruskan ketika PKPK, namun ada cabarannya kerana bukan semua murid ada telefon bimbit sendiri terutama yang masih bersekolah rendah.

“Justeru, dengan adanya TV Pendidikan, ia bukan sahaja melegakan hati kami barisan pendidik, malah semua ibu bapa yang sebelum ini risau, bimbang nasib anak-anak terutama yang bakal menempuh peperiksaan penting,” katanya.

Bagi Muhammad Danish Haqeem Abd Halim, 17, TV Pendidikan memberi sedikit kelegaan kepadanya yang risau tertinggal sesi pembelajaran memandangkan dia bakal menghadapi SPM pada November nanti.

“Hari ini, bermula jam 9.27 pagi hingga 9.43 pagi, saya belajar subjek Sains, iaitu bahagian Proses Pengekstrakan Minyak Sawit. Alhamdulillah saya dapat memahami dengan mudah kerana ia diajar tidak terlalu laju selain penggunaan visual menarik membuatkan saya terus memberi perhatian.

“Memang terasa lain belajar tanpa guru di depan dan kawan-kawan sekeliling, namun sekurang-kurangnya masih ada cara untuk murid seperti saya menimba ilmu sepanjang PKP ini,” katanya yang berharap wabak COVID-19 dapat ditangani segera supaya murid boleh kembali ke sekolah seperti biasa.

Berita Harian X