Selasa, 7 April 2020 | 12:55pm

COVID-19 : Putrajaya, Jasin dan Rembau kini zon merah

PUTRAJAYA: Putrajaya, Jasin dan Rembau kini dikategorikan sebagai kawasan zon merah penularan COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan zon merah sebanyak 21 kawasan berbanding sebelum ini 18 kawasan.

Infografik yang yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendedahkan Putrajaya sehingga jam 6 petang semalam mencatatkan 41 kes, manakala Jasin (42) dan Rembau (41).

Sesebuah kawasan boleh dikategorikan sebagai zon merah apabila ia mencatatkan lebih 41 kes.

Sebelum ini, Putrajaya merekodkan 37 kes, Jasin sebanyak 38 kes dan Rembau sebanyak 40 kes.

Kawasan zon merah lain adalah Petaling yang merekodkan 296 kes, Hulu Langat (324), Gombak (110), Klang (112), Seremban (162), Batu Pahat (47), Johor Bahru (145), Kluang (170), Jerantut (61), Kota Bharu (82), Hilir Perak (65), Kinta (87), Kuching (174) dan Tawau (67).

Selain itu, bagi kawasan yang dikategorikan sebagai zon jingga pula ialah Kuala Selangor dengan 30 kes, Sepang (39), Kuala Langat (22), Hulu Selangor (27), Alor Gajah (25), Melaka Tengah (33), Kulai (24), Muar (30), Kuantan (36), Pekan (23), Besut (29), Dungun (27).

Turut dikategorikan zon jingga ialah Kota Setar (24), Kuala Muda (33), Seberang Perai Tengah (37), Timur Laut (27), Kota Samarahan (36), Kota Kinabalu (34) dan Lahad Datu (38).

Bagi zon hijau pula sebanyak 28 kawasan masih mengekalkan tiada kes sehingga ini iaitu tiga di semenanjung dan kawasan lain di Sabah dan Sarawak.

Sehingga kini, seramai 3,793 pesakit COVID-19 yang dilaporkan positif dengan 62 kematian dicatatkan serta 1,241 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X