Selasa, 7 April 2020 | 3:17pm

COVID-19: Kerajaan hanya tanggung RM150 sehari

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menanggung sepenuhnya kos bilik dan makan di hotel yang dijadikan pusat kuarantin, sebaliknya hanya membayar RM150 sehari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini 45 hotel bertaraf lebih tiga bintang diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Katanya, pembiayaan kos untuk bilik dan hotel terhad kepada RM150 sehari, manakala kos lain seperti dobi ditanggung oleh individu yang dikuarantin.

Menjelaskan mengenai kewajaran menjadikan hotel empat dan lima bintang sebagai pusat kuarantin, Ismail Sabri, berkata ia atas permintaan individu yang memilih sendiri hotel untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Tular di media sosial mengenai hotel empat dan lima bintang digunakan sebagai pusat kuarantin.... macam-macam disebutkan, antara dua darjatlah.

“Hotel yang ditanggung oleh kerajaan adalah hotel yang kosnya RM150. Jika ada individu yang ingin memilih hotel berbeza, mereka perlu membayar sendiri dan ia tidak ditanggung oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya.

Ismail Sabri, berkata kerajaan mewujudkan hotel itu sebagai pusat kuarantin selepas terdapat permohonan daripada pihak kedutaan memandangkan tiada pengecualian terhadap mana-mana individu yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin.

“Ini termasuk diplomat asing yang pulang ke Malaysia dan memohon untuk tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing.

“Selain itu ramai penumpang pesawat yang ingin pulang ke negara masing-masing sanggup membayar sendiri,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto BERNAMA
    Berita Harian X