Selasa, 7 April 2020 | 4:58pm
Mispani (kiri) bersama anggotanya melakukan pemantauan di hadapan Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Mispani (kiri) bersama anggotanya melakukan pemantauan di hadapan Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

COVID-19: 70 lagi pelajar tahfiz di Jasin dikuarantin

JASIN: Seramai 70 daripada 111 pelajar lelaki di Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Kampung Ayer Merbau, di sini dipindahkan ke Pusat Kuarantin COVID-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CReATE), Alor Gajah hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, langkah itu susulan seramai 20 pelajar dan guru madrasah itu di kesan positif COVID-19 yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes indeks kluster tabligh di Masjid Seri Petaling.

Beliau berkata, sehingga malam tadi, kira-kira 25 pelajar sudah dipindahkan ke pusat kuarantin berkenaan, manakala selebihnya dilaksanakan hari ini oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semalam seramai 25 pelajar dikuarantin di madrasah itu sudah dipindahkan ke CReATE hari ini dan baki kira-kira 70 pelajar lagi akan dihantar selepas mereka kembali ke madrasah itu hari ini.

“Pihak KKM akan menyediakan kenderaan untuk membawa mereka ke CReATE selewat-lewatnya jam jam 7 petang ini,” katanya selepas meninjau keadaan madrasah berkenaan, hari ini.

Beliau turut memberikan taklimat ringkas kepada ahli keluarga pelajar terbabit selain meminta mereka menjalani saringan di Hospital Melaka.

Tinjauan di madrasah berkenaan mendapati, ibu bapa mula menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian itu seawal jam 9 pagi.

Ada dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak daripada bersentuhan dengan anak mereka kerana bimbang penyebaran virus berkenaan.

Semua pelajar berkenaan akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan oleh KKM dan dikategorikan sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI).

Difahamkan sebelum ini semua pelajar di madrasah berkenaan sudah menjalani kuarantin di pusat pengajian itu selepas seorang daripada guru di situ disahkan positif COVID-19 sebelum semua pelajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, saringan yang dijalankan pada 1 April lalu mendapati kira-kira 20 pelajar disahkan positif sebelum Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan semua pelajar pulang semula ke madrasah berkenaan untuk dikuarantin secara berpusat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri juga sudah melakukan semburan nyah cemar ke atas keseluruhan bangunan berkenaan, lewat petang semalam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X