Rabu, 8 April 2020 | 10:44am
Effah Juriana memuat naik status di laman sosial Facebook berhubung bantuan ditawarkan kepada golongan memerlukan. - Foto ihsan pembaca.
Effah Juriana memuat naik status di laman sosial Facebook berhubung bantuan ditawarkan kepada golongan memerlukan. - Foto ihsan pembaca.

Mulianya hati kamu

KUALA SELANGOR: Tidak sanggup melihat keluarga terputus punca pendapatan tiada bekalan makanan membulatkan tekad dua sahabat membantu golongan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Effah Juriana Jarmo, 34, menyumbang wang yang dikirim terus ke akaun penerima manakala Norbaizilah Kandani, 36, pula mengagihkan barangan keperluan dapur.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya sudah membantu mengirim wang kepada 20 penerima manakala rakan (Norbaizilah) pula menyumbang barangan keperluan kepada lebih 30 keluarga yang memerlukan,” katanya.

Effah Juriana berkata, beliau menyalurkan sumbangan itu kepada mereka yang tiada berpendapatan tetap seperti peniaga kecil, warga emas, ibu tunggal serta mereka yang mempunyai tanggungan anak ramai,” katanya.

Effah Juriana berkata, dia kerap memuat naik status di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sekiranya ada pihak yang memerlukan bantuan.

“Niat saya ikhlas hendak membantu mereka yang terkesan dengan PKP.

“Saya menganggap mereka ibarat ibu bapa dan saudara-mara yang memerlukan bantuan,” katanya.

Effah Juriana juga berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila sebahagian penerima sumbangan sebelum ini hanya menjamah bubur dan nasi goreng ekoran arahan PKP.

“Saya gembira kerana ini kebajikan yang dapat saya hulurkan bagi meringankan bebanan ditanggung mereka.

“Saya berharap mereka dapat memanfaatkan bantuan yang diberi sekali gus membantu kerajaan memastikan rakyat yang terkesan menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Effah Juriana memaklumkan dia turut bekerjasama dengan mana-mana sukarelawan memberi makanan kepada kucing liar.

“Saya bersimpati dengan nasib haiwan jalanan ini yang hilang tempat bergantung,” katanya.

Berita Harian X