Rabu, 8 April 2020 | 5:03pm
Pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar. FOTO/ NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar. FOTO/ NSTP/AMIRUDIN SAHIB

PKP: Tempoh mungkin dilanjut, rantaian jangkitan belum terputus

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada sehingga hujung bulan ini atau pertengahan Mei, kerana rantaian jangkitan COVID-19 masih gagal diputuskan sehingga kini.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata walaupun tiada peningkatan ketara kes harian, namun jumlah kumulatif mingguan kes baharu COVID-19 sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, masih menunjukkan peningkatan.

“Untuk melihat sama ada kita berjaya mengekang penularan COVID-19, data mingguan kes baharu wabak ini mesti menunjukkan penurunan.

“Namun sejak minggu pertama pelaksanaan PKP hingga minggu ketiga, jumlahnya masih bertambah, sekali gus menunjukkan keberkesanan PKP tidak seperti yang diharapkan walaupun ia berjaya mengelakkan peningkatan ketara.

“Kita boleh lanjutkan sampai selepas Aidilfitri, tapi jika lanjutan PKP tetap gagal kekang penularan COVID-19, maka ia tak bermakna, malah beri impak negatif pada ekonomi negara. Perkara lain perlu dilakukan di samping lanjutan PKP,” katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan kes harian yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kumulatif pada minggu pertama PKP dilaksanakan adalah 951 kes (18 Mac-24 Mac), meningkat kepada 1,142 pada minggu kedua (25 Mac-31 Mac) dan 1,197 pada minggu ketiga (1 April-7 April).

Dr Sazaly berkata, golongan tidak bergejala atau bergejala minimum yang dijangkiti COVID-19, adalah penyumbang kegagalan memutuskan rantaian wabak dalam komuniti kerana mereka tidak tahu sudah dijangkiti, sekali gus tidak membuat pemeriksaan di hospital.

Jelasnya, jumlah kes baharu yang diumumkan setiap hari juga tidak boleh dijadikan sandaran utama bagi menentukan kejayaan PKP kerana ia bukan data terkini, sebaliknya diumum selepas mendapat hasil ujian saringan yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk diperoleh.

“Kalau hari ini diumum ada 150 kes baharu, maknanya mereka ini menjalani ujian kira-kira seminggu lalu serta mungkin dijangkiti sebelum itu lagi, dan mereka mungkin sudah menjangkiti beberapa orang lain dalam tempoh itu.

“KKM perlu laksanakan ujian saringan komuniti menyeluruh di zon jingga dan merah, bukan hanya tertumpu pada yang ke hospital, kontak rapat kes positif dan mereka yang diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sahaja,” katanya.

Beliau turut menyarankan KKM meneliti kemungkinan membenarkan individu yang pulih daripada wabak itu untuk kembali bekerja bagi mengurangkan impak ekonomi, kerana mereka sudah memiliki antibodi terhadap COVID-19.

“Malah, jika dibuat ujian saringan komuniti secara menyeluruh, kita juga mungkin akan mengesan individu yang sudah ada antibodi ini dalam badan.

“Ertinya, mereka ini tak tahu pernah dijangkiti COVID-19 kerana tidak bergejala atau bergejala ringan, tapi kemudian sudah sembuh. Mereka ini juga boleh kembali bekerja,” katanya.

Seorang lagi pakar virologi, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berpandangan kerajaan hanya boleh menghentikan PKP sekiranya berlaku penurunan kes baharu selama satu hingga dua minggu, dan bukan sekadar dalam keadaan mendatar seperti sekarang.

Bagaimanapun, katanya, kaedah PKP dilaksanakan boleh diubahsuai dengan membezakan pelaksanaannya antara zon hijau dengan zon kuning, jingga dan merah.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa individu di sesuatu zon itu tidak boleh bergerak ke zon lain. Mereka (dalam zon hijau dan kuning) mungkin boleh dibenarkan kembali bekerja di dalam zon berkenaan,” katanya.

Dr Lam kekal optimis bahawa PKP berjaya memberi impak positif meskipun tidak mencapai sasaran diharapkan, berdasarkan jumlah kes baharu yang majoritinya di bawah 200, kadar kematian yang kecil serta jumlah kes pulih yang tinggi iaitu lebih 33 peratus.

“Kemasukan pesakit tahap empat dan lima ke unit rawatan rapi (ICU) pula hanya lima peratus, yang menunjukkan kejayaan Malaysia meratakan lengkungan penularan wabak dan tidak membebankan hospital dan fasiliti ICU.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X