Rabu, 8 April 2020 | 5:35pm

COVID-19: Sub-kluster tabligh di Rembau, merebak ke empat lokaliti

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan sub-kluster di Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Pemeriksaan mendapati kluster itu membabitkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudian menular di beberapa lokaliti dalam daerah berkenaan, iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mendedahkan perkara itu berkata sebanyak 27 orang dikenal pasti positif COVID-19, termasuk dua kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), setakat jam 12 tengah hari tadi, angkara sub-kluster terbabit.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas dan penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan.

“Ia didapati dihadiri oleh kes indeks, iaitu kes ke- 448 yang juga antara peserta perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Memperincikan mekanisme penularan, Dr Noor Hisham berkata guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti itu seterusnya menyebarkan virus terbabit kepada ahli keluarga mereka dan penduduk kampung.

“Sehingga kini ada tiga generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati wujud aktiviti saling berkunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  •  Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.FOTO/ NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.FOTO/ NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
    Berita Harian X