Rabu, 8 April 2020 | 7:04pm
Ketua Pegawai Eksekutif One Diversity Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Hamid (tiga dari kanan) menyerahkan Face Shield kepada Juru Teknologi Makmal Kesihatan Aduni Yusoff (tengah) untuk kegunaan frontliner Covid19 di Jabatan Patologi (makmal) Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL). - NSTP/EMAIL
Ketua Pegawai Eksekutif One Diversity Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Hamid (tiga dari kanan) menyerahkan Face Shield kepada Juru Teknologi Makmal Kesihatan Aduni Yusoff (tengah) untuk kegunaan frontliner Covid19 di Jabatan Patologi (makmal) Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL). - NSTP/EMAIL

Syarikat inovasi hasilkan alat pelindung muka untuk petugas makmal

KUALA LUMPUR: Kemudahan mesin bagi menghasilkan prototaip tidak disia-siakan sebuah syarikat berasaskan inovasi untuk membantu membekalkan alat pelindung muka bagi kegunaan petugas makmal kesihatan yang menguji sampel COVID-19.

Syarikat penyelidikan dan pembangunan, One Diversity Sdn Bhd hingga kini sudah menyumbang peralatan pelindung diri (PPE) itu kepada dua fasiliti kesihatan awam iaitu Hospital Putrajaya dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berhasrat untuk menyumbang alat berkenaan ke fasiliti kesihatan yang memerlukan di seluruh negara.

Ahmad Fauzi berkata, inisiatif itu dimulakan selepas menyedari keperluan mendesak bagi peralatan itu terutama petugas kesihatan di Unit Patologi yang bertanggungjawab menguji sampel daripada pesakit COVID-19.

“Kami dimaklumkan, petugas di unit berkenaan kekurangan peralatan itu kerana kebanyakan PPE diberikan kepada petugas barisan hadapan doktor dan pembantu perubatan yang mengambil sampel.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk menyumbangkan PPE itu terus kepada Unit Patologi. Semalam, kami memberikan 30 unit kepada Hospital Putrajaya dan hari ini 100 unit kepada Klinik Kesihatan Kuala Lumpur,” katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif One Diversity Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Hamid (dua kanan) menyerahkan Face Shield kepada Juru Teknologi Makmal Kesihatan Aduni Yusoff (dua kiri) untuk kegunaan frontliner Covid19 di Jabatan Patologi (makmal) Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL). NSTP/EMAIL
Ketua Pegawai Eksekutif One Diversity Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Hamid (dua kanan) menyerahkan Face Shield kepada Juru Teknologi Makmal Kesihatan Aduni Yusoff (dua kiri) untuk kegunaan frontliner Covid19 di Jabatan Patologi (makmal) Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL). NSTP/EMAIL

Ahmad Fauzi berkata, bagi memastikan pengeluaran dapat dilakukan secara maksimum, selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan, mesin pencetak tiga dimensi (3D) yang menghasilkan alat itu ditempatkan di rumah jurutera bertugas.

“Syarikat tidak beroperasi ketika PKP, jadi kami memanfaatkan teknologi mesin ini untuk menghasilkan sesuatu yang diperlukan negara ketika ini.

“Kami mempunyai tiga mesin yang beroperasi 24 jam sehari, di mana dua daripadanya disumbangkan oleh pihak yang bermurah hati. Setiap pelindung muka mengambil masa kira-kira sejam untuk dihasilkan dan kita mampu mengeluarkan kira-kira 75 pelindung muka sehari.

“Bahan yang digunakan adalah filamen plastik yang dicairkan dan akan dibentuk menjadi pelindung mula berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima permintaan kira-kira 2,300 alat pelindung muka di seluruh negara dan kini akan memberi tumpuan kepada fasiliti kesihatan di Lembah Klang terlebih dahulu.

Pada masa sama katanya, syarikat itu akan turut menyumbang terowong sanitasi badan minggu depan dan agihan akan dibuat berdasarkan keperluan pihak yang memerlukan.

“Kita juga sudah menghasilkan kit ujian COVID-19, yang kini sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan. Jika diluluskan, ia bukan saja dapat digunakan di dalam negara, malah boleh dieksport.

“Selain itu, kita sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat bioteknologi bagi mengeluarkan anti viral bagi menguji tubuh badan menentang virus itu,” katanya.

Berita Harian X