Khamis, 9 April 2020 | 1:47pm
PKP menyumbang kepada peningkatan penggunaan data yang menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun. - Foto hiasan
PKP menyumbang kepada peningkatan penggunaan data yang menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun. - Foto hiasan

PKP: Perubahan corak penggunaan pengaruhi kelajuan internet

KUALA LUMPUR: Peningkatan dalam penggunaan persidangan video, pembelajaran dan aktiviti beli-belah melalui internet menyumbang kepada peningkatan permintaan jalur lebar yang lebih tinggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pematuhan terhadap PKP dengan rakyat Malaysia sentiasa berada di rumah menyaksikan peningkatan 23.5 peratus dalam aliran trafik internet di seluruh negara pada minggu pertama PKP dan 8.6 peratus pada minggu kedua.

Menurut SKMM, peningkatan penggunaan data menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun.

“Ini memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan, terutama perkhidmatan yang memerlukan jalur lebar berkelajuan tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi.

Menurut laporan ‘Mobile Experience during the COVID-19 pandemic: 4G Download Speed’ yang dikeluarkan oleh Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata turun daripada 13.4 Megabit sesaat (Mbps) pada awal Februari kepada 8.8Mbps minggu lalu (23 hingga 29 Mac),” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan peralihan perilaku pengguna, SKMM berkata, trend sama turut dialami di seluruh dunia apabila pemberi perkhidmatan berhadapan situasi peningkatan penggunaan jalur lebar yang tinggi yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Pihak pemberi perkhidmatan Internet dan telekomunikasi bertungkus-lumus menambah kapasiti jalur lebar bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya.

Sehubungan itu, SKMM menjelaskan, industri telekomunikasi rancak memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu.

Menurut SKMM, pihaknya dan pihak pemberi perkhidmatan bekerjasama untuk memantau prestasi rangkaian dan memudah cara sebarang cabaran yang dihadapi oleh pemberi perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka.

Katanya, ia termasuk membina infrastruktur tambahan dan menyelenggara tapak sedia ada termasuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

“SKMM yakin kesalinghubungan digital yang berdaya tahan bakal rakyat Malaysia apabila semua inisiatif yang dirancang oleh kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya pihak industri,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X