X
Khamis, 9 April 2020 | 5:54pm

Lanjutan PKP: KKM maklumkan kepada PM esok

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, esok pagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu mesyuarat bagi meneliti unjuran perkembangan kes COVID-19 akan diadakan pada jam 6 petang ini.

Katanya, perbincangan itu akan turut membabitkan pelbagai agensi lain seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), selain pakar statistik dan epidemiologi.

“Kita nak lihat unjuran bersandarkan model perkiraan semasa, apa senario yang mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Kita akan buat unjuran sama ada bakal wujud peningkatan (kes baharu COVID-19) atau tidak, tetapi perkembangan semasa seperti hari ini menunjukkan angka positif antara yang rendah.

“Oleh itu, seperti yang saya sebut sebelum ini, kita ada peluang tipis untuk perbetulkan keadaan, jadi pendekatan kawalan sewajarnya harus dilaksanakan.

“Esok Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan buat pengumuman (mengenai sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya),” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini dilaporkan berkata kerajaan masih menunggu pandangan dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada PKP yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini dilanjutkan atau sebaliknya.

Berikutan penularan COVID-19, kerajaan sebelum ini mengumumkan fasa pertama PKP berkuat kuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac lalu, sebelum melanjutkan perintah berkenaan dua minggu lagi, iaitu dari 1 April hingga 14 April ini.

Berdasarkan graf perkembangan harian COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia masih dalam kategori ‘perjuangan’, tetapi belum menang atau kalah pada wabak berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian menumpukan usaha untuk memantapkan semua ‘pertahanan’ merangkumi proses saringan dan perkhidmatan hospital di seluruh negara bagi berdepan sebarang kemungkin pada masa depan.

"Sehingga kini kita ada 71 hospital yang melakukan saringan COVID-19 dan tujuh hospital yang hanya merawat pesakit dijangkiti wabak ini.

"Persediaan rapi harus dilaksanakan kerana kita tidak mahu pandemik COVID-19 ini mencetuskan kesesakan di hospital," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • LA Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.FOTO/ NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
    LA Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.FOTO/ NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
    Berita Harian X