Khamis, 9 April 2020 | 11:29pm
Wan Hassan terkejut selepas dimaklumkan beliau layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Wan Hassan terkejut selepas dimaklumkan beliau layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Ahli Parlimen Dungun terkejut, malu terima BPN

DUNGUN: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, terkejut selepas dimaklumkan beliau layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN), hari ini.

Wan Hassan berkata, kejadian itu disedarinya ketika sedang mempengerusikan mesyuarat pembahagian bantuan Perintah Kawalan Pergerakan PKP COVID-19 di Pejabat PAS Kawasan Dungun, kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Rakan memaklumkan status kelayakan saya itu diviralkan oleh orang ramai. Saya segera membuat semakan dan sungguh terkejut perkara itu sememangnya benar.

“Saya menghentikan mesyuarat seketika dan menghubungi isteri dan anak bertanya sama ada mereka ada membuat permohonan BPN itu namun mereka menafikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Alur Tembesu, petang ini.

Wan Hassan berkata, memandangkan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tutup berikutan PKP, beliau tidak dapat menghubungi untuk bertanyakan status kelayakannya itu.

”Sebagai Ahli Parlimen, saya berasa sangat malu kerana sedar tidak layak menerima bantuan itu.

“Selepas membuat semakan, saya dapati ada beberapa lagi rakan Ahli Parlimen turut mengalami nasib sama dengan saya,” katanya.

Wan Hassan berkata, beliau juga sudah membuat semakan dan mendapati wang bantuan sebanyak RM1,600 itu belum dikreditkan ke dalam akaunnya.

“Selepas ini, jika wang itu dimasukkan saya akan menulis surat kepada LHDN untuk mengembalikannya.

“Saya berharap kepada LHDN dapat melupuskan nama saya daripada senarai penerima kerana perkara itu akan terus menjadi cemuhan netizen,” katanya.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, setakat ini pihaknya sudah membelanjakan RM318,500 untuk sumbangan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas sejak PKP dilaksanakan.

”Selain peruntukan saya sendiri, kita turut menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) sebanyak RM100,000 termasuk bantuan daripada penderma.

“Setakat ini hampir 3,000 penduduk, ahli persatuan, Badan Bukan Kerajaan, petugas barisan hadapan, pelajar universiti termasuk pusat asuhan kanak-kanak menerima manfaatnya,” katanya.

Katanya, beliau akan terus mendapatkan peruntukan dan akan terus membahagikan bantuan kepada penduduk sekiranya PKP ini terus disambung.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X