Jumaat, 10 April 2020 | 7:49am

61 Pasar Segar Terkawal catat hasil jualan terkini lebih RM11 juta

KUALA LUMPUR : Sebanyak 61 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) yang diwujudkan di seluruh negara setakat semalam, mencatatkan hasil jualan keseluruhan terkini melebihi RM11 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pewujudan PST yang dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah bagi terus menjamin bekalan makanan mencukupi buat orang ramai, di samping membantu petugas barisan hadapan industri makanan menjual hasil perusahaan mereka.

“Antara masalah yang dihadapi oleh orang ramai, nelayan, petani dan penternak sepanjang tempoh PKP ini adalah banyaknya premis perniagaan ditutup, hanya pasar raya yang mendapat kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi,” katanya ketika program Ruang Bicara yang bertajuk ‘COVID-19 : Jaminan Keselamatan Makanan’ yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

“Justeru PST diwujudkan berkonsepkan pasar raya, lengkap dengan persediaan aspek pemeriksaan kesihatan. Ini adalah bagi membantu orang ramai dan petugas barisan hadapan industri makanan negara,” katanya.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setakat ini telah membuka 44 lokasi PST manakala Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak 17 lokasi PST di seluruh negara, dengan 36 lagi lokasi PST akan dibuka secara berperingkat.

Kiandee berkata, antara jualan barangan segar PST adalah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

Jelasnya, pewujudan PST itu juga adalah bagi membendung isu lambakan barangan segar, antaranya sayuran dan buah-buahan dari masalah tidak terjual akibat PKP, selain memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan bekalan makanan dan sekuriti makanan terus berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan melalui MOA dan agensi di bawah kementerian akan akan terus mengambil langkah untuk memudahkan penghantaran, penjualan, runcit, borong dan sebagainya untuk memastikan barang makanan akan kekal ada di rumah setiap rakyat Malaysia.

“Setakat ini. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberikan kelulusan beroperasi kepada lebih 4,000 kilang sepanjang tempoh PKP, termasuk yang berkaitan dengan industri makanan, antaranya kilang pemprosesan dan hasil laut, kilang memproses plastik pembungkus makanan dan sebagainya,” katanya – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X