Jumaat, 10 April 2020 | 4:12pm

COVID-19: PKP dilanjutkan hingga 28 April

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi dari 15 hingga 28 April ini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan melanjutkan PKP bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi penularan wabak COVID-19.

Beliau menegaskan, langkah itu juga bagi mengelak penularan semula virus dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan ini selaras dengan pandangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyarankan negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.

“Seperti mana yang berlaku di beberapa negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan,” katanya dalam perutusan khas di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan PKP dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac sebelum dilanjutkan ke fasa kedua bermula 1 hingga 14 April.

Dalam perutusan hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, negara tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku, meskipun berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan PKP telah membantu petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Malah, beliau berkata, pelanjutan tempoh PKP itu dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan pakar perubatan.

Muhyiddin berkata, usaha mencegah wabak itu mesti diperhebat lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan, termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menurut unjuran dibuat Kementerian Kesihatan, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan lalu sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Katanya, dengan usaha yang dibuat, kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar 7 peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan oleh WHO.

Tambahnya, kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian pada peringkat dunia, selain 43 peratus atau 1,830 pesakit COVID-19 di negara ini sudah pulih dan keluar dari hospital.

“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.

“Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.

“Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian pada peringkat dunia.

“Setakat ini, seramai 1,830 orang pesakit sudah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit COVID-19 pulih. Hari ini sahaja, jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu, iaitu sebanyak 118 kes,” katanya.

Beliau menjelaskan jumlah kes positif baharu juga menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu.

“Jika alirannya berterusan, katanya untuk tempoh dua minggu akan datang, Insya-Allah langkah mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular dapat dicapai,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X