Jumaat, 10 April 2020 | 5:14pm

Teks penuh Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat sejahtera bersama keluarga di

rumah. Bagi yang sedang bekerja, selamat bekerja dan jaga kesihatan.

Sentiasa amalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan apabila balik ke rumah jangan lupa mandi dulu. Kemudian barulah buat apa-apa aktiviti bersama keluarga.

Di awal ucapan saya ini, saya nak menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan

saya kepada anda semua sebagai rakyat Malaysia. Anda adalah manusia yang hebat.

Doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan, anda mengambil risiko setiap

kali melangkah masuk ke wad. Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk

menyelamatkan nyawa orang lain.

Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan. Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta.

Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit COVID 19, hospital swasta menerima

pesakit-pesakit bukan COVID 19 untuk dirawat. Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya.

Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.

Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak

berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima

kasih.

Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan

untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma

tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Sama ada Grab Food, Food Panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia.

Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motosikal laju-laju.

Anda juga insan yang hebat.

Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika

zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita.

Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita.

Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Saudari-saudari yang saya kasihi,

Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat

membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap

yang agak stabil.

Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif COVID-19 adalah terkawal

pada kadar 7%, iaitu di bawah ‘benchmark’ 10% yang ditetapkan oleh Pertubuhan

Kesihatan Sedunia atau WHO.

Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.

Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43%

pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai

220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes.

Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-Allah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular.

Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku.

Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan

pencegahan serta kawalan yang berterusan.

Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak ini.

Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan

pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan

Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020.

Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.

Tindakan ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.

Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat

semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan. Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.

Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.

Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini

masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga

kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar

Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk

bertarawih.

Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak

boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di facebook. Ramai yang mahu penutupan

sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak.

Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga.

Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya.

Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan

dahulu sesi persekolahan sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali

pulih.

Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah. Saya telah minta Kementerian

Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau ‘home based

learning’ sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang

seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

Walaupun keadaan di negara kita insya-Allah akan kembali pulih dengan langkah-langkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini.

Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran kita.

Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini.

Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk

ke negara kita. Na’uzubillah. Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak

akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal”

atau kebiasaan baharu.

Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab.

Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk

mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini

adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.

Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan.

Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan

dengan lebih kerap. Gunakan sabun, ‘hand sanitizer’ dan sebagainya. Juga memakai

face mask.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara-saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sebuah jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahankan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor-sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.

Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Perintah ini masih berkuat kuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi.

Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan.

Senarai sektor ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai.

Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.

Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan

orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Let me remind you that the war on COVID-19 is not yet over. The fight is still on. We

are doing well so far, so just uplift your spirit and continue to fight. If we persevere,

insyaAllah we will win.

Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang. Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah

jualah kita berserah.

Berita Harian X