Jumaat, 10 April 2020 | 9:03pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

COVID-19: ATM pertingkat kawalan di sempadan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited mempertingkatkan usaha kawalan di setiap laluan darat, udara dan laut supaya berada pada tahap tertinggi.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata ATM akan sentiasa bersiap sedia dan kekal komited dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Katanya, ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan keadaan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi apa jua situasi terutama ketika negara kini menghadapi penularan wabak COVID-19.

“Pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan penularan wabak ini.

“Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi arahan terbaru dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, beliau berkata, ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan darat, laut dan udara supaya berada pada tahap tinggi.

“Setiap pemerintah di semua peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan semasa terutama atur gerak operasi ketika dikuatkuasakan.

“Dengan pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara, ia tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam Operasi Penawar untuk menguatkuasa PKP dan PKPD,” katanya.

Katanya, ATM berkolaborasi padu dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi keselamatan lain dalam kawalan darat di Semenanjung dan Malaysia Timur serta kawalan di sempadan perairan negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Perutusan Khas hari ini, mengarahkan setiap kawalan di laluan tikus dan sempadan negara dipertingkatkan bagi mengekang pembolosan warga asing yang dikhuatiri menyumbang kepada risiko jangkitan kes terbaharu COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X