Ahad, 12 April 2020 | 5:35pm

KKM kenal pasti empat sub kluster himpunan tabligh

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengenal pasti empat sub kluster jangkitan COVID-19 membabitkan beberapa madrasah dan sekolah tahfiz susulan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan proaktif mengenal pasti sub kluster berkenaan adalah bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes indeks perhimpunan itu.

Masjid Seri Petaling di sini mengadakan ijtimak tabligh pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu. Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia berkata 12,500 jemaah hadir himpunan itu.

Beliau berkata, sub kluster berkenaan membabitkan madrasah di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sungai Lui, Selangor dan Jasin, Melaka.

Bagi sub-kluster madrasah di Jerantut, seramai 401 disaring, iaitu 297 pelajar dan 104 kakitangan serta ahli keluarga mereka.

“Terdapat 62 kes positif dilaporkan dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, manakala 20 kes sudah sembuh dan discaj.

“Bagi sub kluster madrasah di Penanti, seramai 291 orang membabitkan 256 pelajar dan 35 kakitangan disaring. Enam kes positif dicatatkan, yang mana dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan empat kes sudah sembuh serta discaj,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Seramai 282 orang disaring bagi sub-kluster madrasah di Sungai Lui, iaitu 274 pelajar dan lapan kakitangan. Sebanyak 90 kes positif dilaporkan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh serta Pusat Kusta Negara, manakala 67 kes sudah sembuh dan discaj.

“Bagi sub-kluster madrasah di Jasin, seramai 137 orang disaring, membabitkan 122 pelajar dan 15 kakitangan. Kes positif adalah sebanyak 37 kes dan dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala satu kes sudah sembuh dan discaj.

“Semua kes yang positif sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sub-kluster berkenaan dapat dikenal pasti hasil kerjasama rapat kementerian dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, bagi mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kawasan sub-kluster selain Sungai Lui akan dicadangkan bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Dr Noor Hisham berkata, tindakan pengesanan kes aktif akan dijalankan di kawasan itu.

“Dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita dapat kenal pasti kes berkaitan kes indeks, jadi kita dapat kesan mereka, laksanakan ujian dan pengasingan serta merawat mereka yang positif.

“Bagi yang disahkan negatif, kita akan menjalankan pengasingan dan kuarantin . Semua mereka memang tinggal di sana,” katanya.

Berita Harian X