Isnin, 13 April 2020 | 5:50pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kes sembuh melebihi kes baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 168 kes dilaporkan pulih daripada COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu 2,276 kes atau 47.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 134 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 4,817 kes.

Katanya, ia menjadikan jumlah kes pesakit yang pulih daripada jangkitan itu melebihi kes baharu.

“Justeru, selepas kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,464 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 36 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, satu kes kematian baharu turut dicatatkan, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu setakat ini 77 kes iaitu 1.6 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-77 (kes ke-2,797) adalah lelaki tempatan berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

"Beliau adalah kontak rapat kes indeks (kes ke-703) yang dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 13 April, jam 9.15 pagi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X