X
Isnin, 13 April 2020 | 6:54pm
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad

PKP: JAIS tahan 33 orang solat jemaah di masjid, surau

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan 33 individu ditahan kerana disyaki berkumpul untuk solat berjemaah di beberapa masjid, surau dan musolla di negeri itu.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata semua individu ditahan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan butiran peribadi mereka diambil sebelum dibebaskan dengan jaminan.

“Mereka dikehendaki hadir ke pejabat JAIS pada Mei dan Jun ini, namun jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, mereka dikehendaki hadir dalam tempoh sebulan selepas PKP ke pejabat JAIS untuk siasatan lanjut.

“Selepas PKP, kita akan buka dan lengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Jabatan Pendakwa Syarie Selangor.

“Penahanan ini membabitkan individu lelaki berumur 13 hingga 63 tahun sejak tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan bermula 30 Mac lalu.

“Sehingga 11 April, operasi penguatkuasaan JAIS ini membabitkan 341 lokasi di seluruh Selangor membabitkan 50 anggota,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, semua individu yang ditahan adalah jemaah yang masuk menjadi makmum ketika pegawai bertugas menunaikan solat.

“Hanya imam, bilal atau siak yang dilantik dan diberi tanggungjawab melaungkan azan serta dan melepaskan fardu kifayah ahli kariah

“Tiada masalah pematuhan dalam kalangan pengurusan masjid, surau atau musolla kerana mereka memahami arahan.

“Dalam tempoh PKP ini, JAIS akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan supaya orang ramai terus mematuhi arahan dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Mohd Shahzihan diminta mengulas mengenai satu akaun Facebook yang mendakwa wujud unsur pilih kasih dalam keputusan kerajaan dan Majlis Fatwa kerana tidak membenarkan solat Jumaat dilakukan.

Hantaran itu juga turut membandingkan arahan melarang orang ramai berkumpul di masjid tetapi dibenar ke pasar raya, kedai runcit dan pejabat penting yang masih beroperasi, termasuk polis yang melakukan sekatan jalan raya dan pemantauan.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS akan menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun Facebook terbabit.

“Kita akan kenal pasti dan mendapatkan maklumat mengenainya sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X