X
Selasa, 14 April 2020 | 5:07pm
KESESAKAN yang berlaku ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan. - Foto Hairul Anuar Rahim
KESESAKAN yang berlaku ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan. - Foto Hairul Anuar Rahim

Ramai keluar, beberapa lokasi jalan raya sesak

KUALA LUMPUR: Kesesakan teruk di beberapa lokasi sekitar bandar raya dan Selangor turut menghairankan polis kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Ia berlaku di lokasi sekatan jalan raya tetapi oleh kerana kenderaan terlalu banyak, berlaku kesesakan teruk di sesetengah tempat seperti di hadapan Plaza IOI Puchong pagi tadi.

"Saya sendiri pelik kenapa berlakunya kesesakan teruk di kawasan itu sedangkan cara dan prosedur sekatan jalan raya (SJR) yang dibuat dalam bentuk yang sama seperti sebelum ini.

"Jadi kita percaya kesesakan ini adalah disebabkan tindakan segelintir pihak yang mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas situasi kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi di pinggir bandar raya apabila orang ramai keluar ketika PKP dikuatkuasakan.

Beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Serdang, meninjau lokasi berkenaan bagi mendapatkan punca utama kesesakan yang dianggarkan lebih satu kilometer (km) itu.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan sebarang alasan tidak munasabah terhadap mana-mana pihak yang mengingkari arahan PKP.

"Arahan polis jelas, sesiapa yang mengingkari arahan PKP ini dan ditahan semasa melalui SJR berkenaan akan ditahan dan mengambil tindakan undang-undang dikenakan kompaun RM1,000.

"Kita (Polis Selangor) juga sedang mendapatkan maklum-balas dari beberapa lokasi lain di seluruh Selangor yang mencatatkan jumlah kenderaan yang begitu tinggi di atas jalan raya hari ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X