Rabu, 15 April 2020 | 10:17am

Banduan khatam al-Quran 25 kali sepanjang PKP

MARANG: Tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan oleh 60 penghuni Penjara Marang dengan menyertai program khatam al-Quran sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab Latiff, berkata setakat ini, penghuni sudah khatam al-Quran sebanyak 25 kali sepanjang tempoh PKP.

“Program itu dijalankan secara berterusan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari dengan 60 penghuni termasuk lima yang sedang mengikuti kelas tahfiz akan khatam 30 juzuk al-Quran setiap hari.

“Mereka juga mengerjakan solat hajat berjemaah dan membaca surah Yasin setiap kali selepas Maghrib di bilik masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan pada program Tadarus dan Khatam al-Quran di Surau Penjara Marang bersama Ketua Unit Agama penjara terbabit, Shayuti Abdullah, baru-baru ini.

Wan Sani menjelaskan, pihaknya tidak memaksa penghuni menjayakan program terbabit, sebaliknya mereka menyertainya secara sukarela.

“Harapan kami supaya dengan sedikit usaha oleh warga Penjara Marang ini boleh membantu meredakan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

“Sebagai tanda penghargaan kepada semua penghuni yang menyertai program itu, Penjara Marang memberi saguhati berbentuk barangan keperluan termasuk makanan kepada mereka,” katanya.

Seorang daripada banduan berkenaan, Pok Ya, 56, (bukan nama sebenar) berkata, dia sudah 10 tahun berada di Penjara Marang.

“Saya mempunyai keluarga di kampung dan bimbang dengan nasib mereka yang mungkin terjejas kerana PKP dan COVID-19. Tiada apa boleh saya buat melainkan berdoa dan menyertai program keagamaan yang dianjurkan penjara untuk kesejahteraan mereka dan semua rakyat Malaysia.

“Walaupun berada di penjara, saya berharap kemakmuran masyarakat di luar terpelihara seperti biasa,” katanya.

Seorang lagi banduan, Madi, 45, (bukan nama sebenar) berkata, dia juga bimbangkan keselamatan keluarganya dan sentiasa mendoakan mereka agar dielakkan daripada dijangkiti virus berbahaya itu.

“Kami bukan sahaja berdoa, khatam al- Quran, solat hajat dan membaca Yasin tetapi turut mengamalkan bacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat.

“Harapan kami supaya penularan wabak ini cepat reda dan keluarga boleh datang melawat kami di penjara seperti biasa,” katanya yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah.

Menurutnya, dia bekas banduan akhir tetapi mendapat pengampunan sultan pada 2012 sebelum dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.

“Sekarang tinggal enam tahun lagi sebelum saya dibebaskan dan berasa tidak sabar untuk hidup bersama keluarga semula,” katanya.

Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab Latiff mendengar Ben, 24, (bukan nama sebenar) membaca al-Quran. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab Latiff mendengar Ben, 24, (bukan nama sebenar) membaca al-Quran. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Berita Harian X