Rabu, 15 April 2020 | 6:35pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

Keputusan KPM rasional - PIBGN

KUALA LUMPUR: Pelan tindakan persekolahan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini termasuk menunda dan membatalkan peperiksaan disifatkan munasabah ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata keputusan itu diterima baik guru dan ibu bapa yang kini menunggu kaedah baharu yang bakal dilaksanakan.

“Sememangnya seluruh rakyat menunggu kaedah baharu dan pastinya menyambut baik garis panduan yang akan dilaksanakan selepas PKP ditamatkan demi kesejahteraan murid.

“Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga berharap pelaksanaan sesi e-learning pembelajaran dan pengajaran (PdP) dari rumah diperhebatkan sama ada dengan radio, televisyen dan medium sosial lain supaya murid tidak ketinggalan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Tarikh Peperiksaan Semester 2 Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) turut dipinda kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester 3 STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada suku pertama tahun depan.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini turut dibatalkan, sementara pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang akan menduduki SPM dan STPM akan diberi keutamaan untuk ke sekolah selepas PKP tamat.

Sementara itu, mengenai pengumuman sesi persekolahan yang akan diumumkan dua minggu lebih awal, Mohamad Ali berkata, langkah itu tepat dalam mempersiapkan pelajar kembali ke sekolah.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KPM yang berunding dengan pelbagai agensi dan kementerian untuk menjayakan mutu pendidikan lebih baik.

“Hal ini penting kerana lebih 500,000 guru sentiasa kreatif, komited mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian PdP kepada anak didik berjalan lancar walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan PKP.

“Bagaimanapun masalah peranti yang tidak mencukupi dapat diatasi dan akses untuk sistem pembelajaran ini dapat diteruskan dan dilaksanakan sebagai satu hikmah berguna dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh PKP ini PIBGN berterima kasih kepada guru, penjaga anak sekolah yang memahami suasana dan memberi sokongan penuh dan menjalinkan kerjasama erat.

“Ini bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam menimba ilmu dengan keseronokan dan tidak membebankan mereka,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X