Rabu, 15 April 2020 | 8:56pm

COVID-19: Mungkin ada tiga strain coronavirus baharu

PUTRAJAYA: Malaysia mungkin berdepan jangkitan tiga strain virus COVID-19, berikutan ada rakyat negara ini yang pulang dari luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan bukan hanya dari China.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia hanya akan diketahui apabila kajian mendalam dilakukan terhadap virus terbabit.

Katanya, hanya dengan membuat penjujukan genom keseluruhan (whole genome sequencing) baru pihaknya boleh menentukan strain virus penyakit COVID-19 yang ada di negara ini.

“Mungkin kita ada tiga strain COVID-19 di negara ini tetapi kita tidak tahu sehingga kita melakukan pengasingan virus itu dan menandakannya.

“Ketika itu, baru kita boleh membandingkan strain-strain ini, sama ada ia A, B atau C. Perlu diingatkan, ini ialah virus baharu,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak mempunyai data dan laporan membabitkan virus itu yang boleh dirujuk, berbanding virus lain yang sudah dikenal pasti serta dilaporkan.

Justeru, katanya, peranan yang dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ketika ini penting.

“Ketika gelombang pertama, seramai 16 daripada pesakit kita datang dari China. Kita tahu kumpulan ini dari Wuhan, sama ada kita melihat strain yang berlainan.

“Seperti yang mereka katakan, di China ialah strain B dan di Malaysia strain C, dan di AS dan Eropah dijangkiti strain A. Tetapi kita tidak tahu, kecuali kita kulturkan virus kita.

“Namun, kita percaya, kita berdepan dengan gelombang kedua kes import. Pelajar kita atau rakyat kita yang pulang dari luar negara, bukan saja dari China, malah dari AS, United Kingdom dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X