Khamis, 16 April 2020 | 6:03pm
Semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan kesihatan perlu diberi vaksin influenza untuk dilindungi daripada penyakit itu, bagi memastikan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas. Gambar hiasan
Semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan kesihatan perlu diberi vaksin influenza untuk dilindungi daripada penyakit itu, bagi memastikan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas. Gambar hiasan

PKP: Petugas barisan hadapan perlu disuntik vaksin influenza

KUALA LUMPUR: Semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan kesihatan perlu diberi vaksin influenza untuk dilindungi daripada penyakit itu, bagi memastikan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas.

Ahli jawatankuasa teras Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG), Prof Dr Roslina Abd Manap, berkata ia selaras gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya pemberian suntikan vaksin influenza kepada kakitangan kesihatan diteruskan, walaupun fokus kini terarah untuk mengekang penularan COVID-19.

Jelasnya, pemberian vaksin itu akan meningkatkan imuniti petugas kesihatan daripada dijangkiti virus influenza yang menyerang sepanjang tahun, sekali gus mengurangkan risiko mereka terpaksa mengambil cuti sakit dalam tempoh kritikal ketika ini.

“Khidmat petugas barisan hadapan, terutama kakitangan kesihatan amat penting ketika ini untuk merawat pesakit COVID-19 dan kita perlu elakkan mereka daripada terpaksa mengambil cuti sakit kerana dijangkiti influenza.

“Jangkitan influenza hampir sama dengan COVID-19 iaitu demam, batuk dan sesak nafas. Jika dilindungi vaksin, kita boleh singkirkan faktor influenza seandainya ada petugas kesihatan yang bergejala, sekali gus memudahkan diagnosis bagi menyaring sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau tidak,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Roslina berkata, kakitangan kesihatan ketika ini bukan hanya berdepan pesakit COVID-19, tetapi juga perlu meneruskan khidmat merawat pesakit diabetes, darah tinggi, jantung serta penyakit kronik lain.

Katanya, tahap kesihatan pesakit yang menghidap penyakit kronik itu berisiko menjadi lebih teruk jika terdedah dengan virus influenza, yang disebarkan daripada kakitangan kesihatan.

“Ini boleh diatasi jika mereka diberi vaksin influenza. Apabila seseorang kakitangan kesihatan menjaga dirinya, dia juga secara tidak langsung melindungi pesakitnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Roslina turut menekankan kepentingan orang ramai meneruskan amalan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan serta menjaga etika batuk dan selsema bagi mengurangkan risiko dijangkiti influenza, pasca PKP dan COVID-19.

“Asalnya, saranan membasuh tangan, menjaga etika batuk dan selsema, serta mengelak berada di lokasi tumpuan umum adalah bagi mengelak dijangkiti influenza, dan kini pendekatan sama digunakan untuk menghindari jangkitan COVID-19.

“Jika kita mahu elakkan jangkitan influenza, semua saranan ini perlu diteruskan kerana cara jangkitannya sama dengan COVID-19, iaitu menerusi ‘droplet’ dan sentuhan,” katanya.

Ditanya sama ada vaksin influenza turut berkesan terhadap virus COVID-19, Dr Roslina berpandangan ia tidak memberi perlindungan pada wabak berkenaan.

“Secara saintifiknya tidak, kerana kedua-dua jangkitan adalah daripada keluarga virus yang berbeza dan tidak berkaitan, iaitu coronavirus dan influenza,” katanya.

Jangkitan influenza menyaksikan peningkatan ketara pada Disember tahun lalu dan awal tahun ini, hingga menyebabkan majoriti klinik dan hospital swasta mendakwa kehabisan vaksin berkenaan.

Susulan itu, hampir 200,000 bekalan vaksin influenza dilaporkan dibawa masuk pembekal secara berperingkat ke negara ini dalam tempoh dua bulan bermula pertengahan Januari lalu, bagi memenuhi permintaan awam.

Vaksin influenza disaran diambil sekali setiap tahun dan boleh diberikan kepada kanak-kanak seawal usia enam bulan sehingga dewasa, serta mengambil masa kira-kira dua minggu selepas disuntik untuk memberi perlindungan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X