Jumaat, 17 April 2020 | 3:22pm
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor

PKP: MTUC terima 500 aduan majikan operasi tanpa kelulusan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa, menerima lebih 500 aduan membabitkan perbuatan majikan meneruskan perniagaan tanpa kelulusan dan mengetepikan syarat operasi ditetapkan kerajaan.

Selain mengugut untuk memberhentikan kakitangan yang enggan datang ke pejabat meskipun tiada kelulusan operasi, segelintir majikan didakwa mengerah tenaga kerja pada kadar 100 peratus.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, ketika mendedahkan perbuatan itu, berkata ia bercanggah syarat ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa kadar operasi dikurangkan kepada hanya 50 peratus.

“MTUC menerima lebih 500 aduan, menerusi platform rasmi dan tidak rasmi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Antaranya merangkumi pekerja diarah datang kerja dan sekiranya gagal bakal berdepan risiko dibuang oleh majikan, selain bekerja mengikut masa normal, kerja lebih masa, tiada pengangkutan, tiada peralatan keselamatan dan pelbagai lagi aduan.

“Majikan terlalu gelojoh dan tamak sehingga mementingkan diri-sendiri tanpa mengambil berat kesihatan serta keselamatan pekerja, sekali gus membelakangkan risiko pandemik COVID-19 demi kepentingan syarikat.

“MITI sudah mengeluarkan kebenaran untuk operasi kepada industri dengan syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi, justeru ia perlu dipatuhi dan jika gagal, kebenaran operasi ditarik balik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam mengumumkan syarikat di lapan sektor dibenarkan beroperasi, namun hanya pada kadar 50 peratus sepanjang PKP berkuat kuasa.

Kerajaan turut menggariskan beberapa syarat lain, termasuk mewajibkan pekerja syarikat berkenaan mendapatkan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seluruh negara, manakala rekod suhu badan dan gejala direkodkan dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan sebagai rujukan.

Bimbang dengan risiko kesihatan, Abdul Halim berkata, segelintir majikan mendapat kebenaran untuk meneruskan operasi, sejak hari pertama PKP dilaksanakan kerana dikategorikan sebagai industri kritikal.

“Oleh itu, hari ini sudah hari ke-31, bila saringan COVID-19 untuk pekerja yang sedang beroperasi hendak dilaksanakan?

“MTUC bimbang segala usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak COVID-19 hanya sia-sia, apabila akhirnya timbul kluser terbaharu, iaitu ‘kluster pekerja industri’.

“Oleh itu, saringan wajar dilaksanakan secepat mungkin bagi menangani risiko kluster baharu ini tercetus,” katanya.

Membangkitkan mekanisme kos saringan, Abdul Halim berkata peruntukan mengendalikan pemeriksaan kesihatan dan usaha mengesan gejala COVID-19 yang bakal dilakukan di klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak terkandung dalam pakej rangsangan bernilai RM260 bilion seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, langkah sedemikian mencetuskan persoalan mengenai penggunaan peruntukan kewangan PERKESO, berbanding kos saringan yang sepatutnya ditanggung majikan masing-masing.

“MTUC kecewa dan membantah cadangan MITI dengan membenarkan kos saringan ditanggung oleh PERKESO.

“Majikan dan PKS gembira dengan penerimaan pakej bantuan daripada MITI sehingga terus mencadangkan supaya saringan COVID-19 dilakukan di tempat kerja dan dalam waktu kerja,” katanya.

Berita Harian X