Jumaat, 17 April 2020 | 6:42pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

COVID-19: Keputusan tamat PKP berpandukan 2 faktor utama

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu, akan berpandukan dua faktor utama.

Memperincikan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata faktor pertimbangan pertama ialah kadar kes kebolehjangkitan atau jumlah pesakit positif COVID-19 yang direkodkan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan di Malaysia yang dikira daripada perbezaan jumlah kes baharu dan individu pulih itu, membabitkan 2,198 kes, setakat ini.

“Unjuran kebolehjangkitan kita sebelum ini ialah 2,033 menjelang 14 April, justeru ia ‘lari’ sedikit, iaitu sekitar 150 kes.

“Oleh itu, sekiranya kita ingin menamatkan PKP, antara faktor atau petunjuk yang perlu diambil kira ialah kadar kebolehjangkitan atau jumlah kes positif COVID-19 dalam komuniti.

“Kita perlu ada strategi keluar untuk menamatkan PKP dengan meletakkan sasaran mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Mengenai petunjuk kedua pula, Dr Noor Hisham berkata, kementerian akan menasihati kerajaan untuk menamatkan PKP bersandarkan laporan survelan bagi kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI), yang dijalankan sejak Januari lalu.

“Sekarang ada 114 kes berkaitan SARI dan ILI dalam komuniti, justeru kita akan meneruskan aktiviti pengesanan serta saringan untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan daripada kes ini.

“Kita juga melihat kawasan tertentu yang mempunyai kepadatan tinggi bagi mengesan kewujudan kluster, sekali gus mengekang penularan wabak dalam komuniti.

“Selain itu, sebelum kita membuat keputusan untuk menamatkan PKP, keupayaan makmal bagi pengesanan kes dan perkhidmatan rawatan di hospital perlu ditingkatkan.

“Langkah ini perlu bagi memastikan kita dapat menampung jumlah pesakit yang datang dan memberi rawatan terbaik,” katanya.

Mengenai sasaran lanjut dalam PKP fasa ketiga pula, Dr Noor Hisham berkata, kementerian berazam menurunkan kadar kebolehjangkitan kepada sekitar 500 hingga 1,000 kes.

Jika sasaran itu mampu dicapai, beliau berkata, perkhidmatan rawatan di hospital dapat ditumpukan kepada kluster lain yang berupaya mencetuskan peningkatan kadar kebolehjangkitan.

“Sekiranya tiada kes positif dalam komuniti, kita boleh mengurangkan penularan COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X