Sabtu, 18 April 2020 | 1:49pm

JAIS keluarkan carta alir proses kebenaran akad nikah

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengeluarkan carta alir yang menjelaskan proses kebenaran melaksanakan akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan carta berkenaan, terdapat lima langkah yang perlu dilakukan oleh pasangan yang ingin bernikah di Selangor.

Langkah pertama adalah pemohon perlu menghubungi pegawai JAIS untuk mendapatkan penerangan mengenai proses yang akan dilaksanakan.

Seterusnya, Pengarah JAIS akan memberi kebenaran khas untuk berkahwin jika dokumen yang disediakan bakal pengantin berkenaan lengkap (REK-PKP-01).

Pegawai yang bertugas kemudian akan menghubungi pemohon untuk memaklumkan tarikh pernikahan.

Pengantin akan dinikahkan melalui sidang video dan senarai semak proses akad nikah PKP akan dilengkapkan (REK-PKP-02).

Langkah terakhir adalah pemohon perlu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dengan mengemukan Slip Perakuan Nikah Sementara (REK-PKP-03) bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas PKP berakhir.

Berita Harian X