Sabtu, 18 April 2020 | 4:33pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) melawat kilang belian padi Firma Rena Sdn Bhd pada Program Turun Padang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Tanjong Karang, hari ini - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) melawat kilang belian padi Firma Rena Sdn Bhd pada Program Turun Padang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Tanjong Karang, hari ini - Foto BERNAMA

140 premis niaga hasilkan jualan RM80 juta dalam tempoh PKP

KUALA SELANGOR: Sebanyak 140 premis niaga termasuk Pasar Segar Terkawal (PST) mencatatkan jumlah jualan RM80 juta sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan 18 Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jualan di situ membabitkan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa agensi pemasaran di bawah kementerian sentiasa berusaha mengurangkan masalah lebihan pengeluaran.

“Ia disebabkan permintaan yang berkurangan berikutan premis pemasaran yang dikurangkan kerana PKP,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena program turun padang di IADA Barat Laut Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, kata Ronald, ada lokasi tertentu yang berhadapan dengan masalah lebihan pengeluaran disebabkan premis niaga berkurangan.

“Seperti contoh, hotel dan restoran tidak beroperasi sepenuhnya menyebabkan permintaan ‘business to business’ berkurangan dan sekarang ini, permintaan ‘business to consumer’ sahaja,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pendekatan baharu seperti perniagaan secara dalam talian rancak digunakan sepanjang tempoh PKP.

“Ketika ini, FAMA sedang berurusan dengan beberapa pemain industri yang menggunakan platform e-dagang untuk membantu pengeluar barang makanan melakukan perniagaan dalam talian.

“Dengan cara ini, ia diharap dapat mengurangkan isu masalah lebihan pengeluaran,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke kawasan IADA Barat Laut Selangor, Ronald memberi jaminan bekalan beras di negara ini mencukupi sepanjang PKP.

“Lawatan itu bagi melihat bekalan beras negara sentiasa terjamin dan berterusan untuk memastikan rakyat tidak terganggu dari segi bekalan beras.

“Malah, kedudukan kita sebagai pengeluar beras tempatan sebanyak 70 peratus dan kebergantungan terhadap beras import sebanyak 30 peratus menunjukkan Malaysia tidak akan berhadapan masalah besar dari segi bekalan beras negara walaupun dalam tempoh PKP,” katanya.

Menurut Ronald, Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) turut memaklumkan beras import dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam adalah berterusan dan tidak terganggu sepanjang tempoh PKP.

“Rakyat diminta tidak melakukan pembelian panik kerana pihak kementerian dan agensi bertanggungjawab terhadap bekalan makanan negara akan memastikan perolehan bekalan makanan sentiasa terjamin dan konsisten,” katanya.

Berita Harian X