Sabtu, 18 April 2020 | 6:06pm
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock. - Foto NSTP
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock. - Foto NSTP

'Adu jika PPD ganggu di luar waktu bekerja'

KUALA LUMPUR: Guru yang mendapat tekanan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk diganggu serta menerima arahan di luar waktu bekerja boleh mengemukakan kes mereka kepada Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata ini kerana tindakan PPD itu tidak sepatutnya berlaku selain tidak masuk akal.

Katanya, perlu kemukakan bukti supaya kementerian dapat memperbetulkan keadaan.

“Kita juga ada bukti yang PPD mendapatkan laporan bertulis dari sekolah mengenai pendidikan dalam talian ini.

“Cara ini sudah tentu akan juga memberi tekanan kepada pihak bawahan untuk memenuhi arahan dan menyebabkan saingan dalam kalangan sekolah dan guru,” katanya kepada BH.

Dilaporkan guru-guru kini menerima tekanan apabila PPD mengeluarkan pelbagai arahan termasuk di luar waktu bekerja.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang dikatakan bermasalah hingga menimbulkan kebimbangan guru, ibu bapa serta pelajar, katanya Kementerian Pendidikan perlu mengkaji perkara itu.

Antara maklum balas diterima pihaknya adalah masalah capaian internet tidak menyeluruh dalam kalangan pelajar, pelajar berdepan masalah tidak memiliki kemudahan komputer bagi menyiapkan tugasan dalam talian selain suasana di rumah tidak kondusif untuk pembelajaran.

Berita Harian X