Sabtu, 18 April 2020 | 8:05pm

Kongsi kepakaran buat kajian, penyelidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melihat peluang kerjasama dengan lapan pakar perunding perubatan dari China dalam meningkatkan lagi usaha pengesanan virus, rawatan dan kesihatan awam susulan COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua pakar yang tiba di sini hari ini adalah pakar perunding berpengalaman dalam menangani penularan wabak COVID-19, di Hubei sebelum ini.

Katanya, pakar perunding itu termasuk mereka yang berpengalaman sebagai pakar penyakit berjangkit dan pakar penganalisis data, yang bertugas di Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, cawangan Guandong.

Beliau berkata, pihaknya melihat bagaimana meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan apa yang boleh dipelajari daripada pakar berkenaan, selain menjawab persoalan mengenai tiga strain virus COVID-19 yang dikatakan sebelum ini.

"Memang betul. Hari ini ada lapan dari China yang berpengalaman dan datang dari China untuk membantu kita.

“Sebelum ini, kita ada buat 'teleconferencing' dengan mereka.

"Mungkin ada banyak isu lagi yang kita kena lihat. Antara mereka lapan orang itu adalah pakar penyakit berjangkit, pakar analisis data dan sebagainya," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebelum ini, pihaknya dimaklumkan penularan wabak COVID-19 di China membabitkan strain B, manakala dikatakan jangkitan di Malaysia dan Singapura adalah dari strain C.

Katanya, hari ini, makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah melaksanakan pengasingan dan kultur virus COVID-19 dan daripada kultur itu nanti, pihaknya akan bandingkan dengan virus pada gelombang pertama dan kedua jangkitan di negara ini.

Beliau berkata, apabila pihaknya melihat hasil kajian dari gelombang pertama berdasarkan dua sampel dari pesakit berasal dari Wuhan dan bandingkannya dengan sampel daripada kes gelombang kedua, didapati ia mempunyai persamaan dengan strain B di Wuhan.

"Kita bandingkan virus itu, kita dapati virus pada gelombang pertama jenis B, ada persamaan dengan di Wuhan dan gelombang kedua yang membabitkan rakyat Malaysia juga jenis B, bukan C seperti dikatakan.

"Namun, saya percaya ramai yang balik dari luar negara mungkin ada kes import dan kita akan melaksanakan lebih banyak ujian pengasingan virus dan kultur virus itu dan kita akan lihat jujukan genom keseluruhan virus (whole genomic virus sequence).

"Apabila kita dapati 'whole genome sequance' kita boleh lihat gelombang pertama, kedua dan kes import sama ada dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom," katanya.

Ditanya, sama ada kesemua lapan pakar itu akan dikenakan perintah kuarantin wajib, Dr Noor Hisham berkata, mereka akan melalui proses ujian calitan (swab) selain ujian polymerase chain reaction.

Katanya, mereka akan dimasukkan ke hospital didapati positif dan jika keputusannya adalah negatif, pihaknya akan mempertimbangkan langkah untuk kuarantin.

Rabu lalu, dalam sidang media hariannya, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Malaysia berkemungkinan berdepan jangkitan tiga strain virus COVID-19 berikutan ada rakyat negara ini yang pulang dari luar negara termasuk dari AS dan bukan hanya dari China.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia hanya akan diketahui apabila membuat penjujukan genom keseluruhan (whole genome sequencing) baru pihaknya boleh menentukan strain virus penyakit COVID-19 yang ada di negara ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X