Ahad, 19 April 2020 | 5:20pm

Pelajar Malaysia pulang dari Indonesia, dikesan kluster baharu

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat satu lagi kluster baharu dikesan oleh pihaknya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes positif COVID-19 itu dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari Indonesia melalui KLIA, pada 16 April lalu.

“Kluster berkenaan terdiri daripada 43 pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

"Mereka kini sedang menjalani proses kuarantin iaitu 34 individu dikuarantin di Melaka manakala sembilan lagi di Putrajaya.

"Ini menunjukkan tindakan kerajaan untuk mengambil langkah kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan dan ia bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah terkini rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan menjalani proses kuarantin, Dr Noor Hisham berkata seramai 15,800 individu sudah menjalani proses berkenaan.

"Kita ada 190 stesen pusat kuarantin di negara ini dan di pintu masuk antarabangsa sahaja terdapat 89 stesen kuarantin.

"Kini seramai 15,800 individu sudah dikuarantin dan daripada jumlah berkenaan 1,041 adalah dalam kalangan jemaah tabligh.

"Setakat ini, kita ada 11,725 orang yang dipantau (PUS) dan sampel yang diambil adalah 8,410 dan yang positif setakat ini adalah 65 individu iaitu 43 individu dari Jawa Timur, tiga dari Acheh dan satu kes masing-masing dari Turki dan Kalimantan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media, di Putrajaya.
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media, di Putrajaya.
    Berita Harian X