Ahad, 19 April 2020 | 7:35pm

Saringan meningkatkan peluang kenal pasti individu positif COVID-19

SHAH ALAM: Konsep pandu lalu saringan COVID-19 secara percuma membolehkan lebih ramai orang awam yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak serta warga emas disaring.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Muaz Omar, berkata pusat saringan pandu lalu yang berpusat di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia di Seksyen 7 menerima 215 individu sehingga tengah hari tadi.

"Semalam seramai 59 orang buat saringan dan jumlah itu meningkat hari ini. Sehingga tengah hari tadi seramai 156 individu datang pandu lalu untuk ujian saringan. Paling ramai yang datang berusia 50 tahun ke atas.

"Konsep pandu lalu tidak mengambil masa lama dan dianggarkan setiap individu mungkin sekitar lapan minit.

“Bagi pandu lalu ada tiga pasukan perubatan, jadi tiga individu boleh disaring serentak. Ujian saringan tidak lama, tetapi sebelum itu mereka akan ditanya mengenai sejarah perjalanan, gejala dan kontak dengan pesakit COVID-19,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Program saringan dianjurkan Kerajaan Selangor dengan kerjasama anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SELCARE.

Saringan pandu lalu akan dilanjutkan sehingga esok bagi memberi peluang lebih ramai membuat saringan.

Dr Muaz berkata, usaha itu bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dengan memperbanyakkan ujian ke atas individu berisiko seperti warga emas, mereka yang ada komplikasi penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata, lebih banyak ujian saringan dibuat, lebih tinggi peluang untuk mengenal pasti mereka yang positif, sekali gus membolehkan mereka diasingkan dan dirawat.

“Tetapi pada masa sama, kita kena ambil maklum juga ada kes positif COVID-19 tanpa gejala, contohnya saringan di Hulu Langat minggu lalu, 649 individu disaring, ada lima positif.

"Daripada lima yang positif, hanya seorang yang ada simptom,.

“Kekurangan kit ujian menyebabkan kita fokus kepada golongan berisiko tinggi, malah Prosedur Operasi Standard  (SOP) untuk pelaksanaan saringan komuniti ini mengikut tatacara Kementerian Kesihatan Malaysia, malah operasi ini dipantau Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.

Dr Muaz berkata, selain saringan pandu lalu, pihaknya juga membuat ujian saringan dari rumah ke rumah.

"Minggu lalu kita ke tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua di Hulu Langat, kita pergi dari rumah ke rumah mengikut data daripada Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu sasaran kita warga emas dan kita pilih Zon Merah,” katanya.

Katanya, proses saringan membabitkan 20 pasukan perubatan, di mana setiap pasukan dipecahkan empat individu seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan selain dibantu anggota polis, Pejabat Kesihatan Daerah serta pihak berkuasa tempatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Petugas kesihatan Selcare melakukan ujian saringan COVID-19 kepada penghantar makanan secara pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
    Petugas kesihatan Selcare melakukan ujian saringan COVID-19 kepada penghantar makanan secara pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
    Berita Harian X