Isnin, 20 April 2020 | 2:43pm

COVID-19: Stok bekalan makanan, barang basah lebih daripada cukup

KUALA LUMPUR: Stok bekalan makanan harian terutama beras dan barang keperluan asas termasuk sayur ketika ini lebih daripada mencukupi.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga sentiasa memantau bekalan makanan harian, terutama beras dan barangan keperluan asas lain di seluruh negara.

“Stok semasa beras mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan. Malah lebih daripada mencukupi.

“MOA juga memberi jaminan barang makanan basah seperti sayur-sayuran juga lebih daripada mencukupi,” katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, penguatkuasa KPDNHEP turut membuat pemantaun harian bagi 25 jenis bekalan di 1,203 pemeriksaan premis peniagaan termasuk peruncit (925), pemborong (247) dan pengilang (31).

Sementara itu katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan memutuskan dan memberi nasihat mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini akan diputuskan dan dicadangkan Menteri Hal Ehwal Agama. Perbincangan bukan saja daripada sambutan hari raya, ia termasuk solat tarawih yang akan diputuskan menteri menjaga hal agama," katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada Malaysia sedia mengikut jejak langkah Indonesia yang memutuskan untuk menangguhkan sambutan perayaan Aidilfitri pada akhir tahun ini susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X