X
Isnin, 20 April 2020 | 8:36pm
PENIAGA bubur lambuk, Abu Bakar Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Hassan.
PENIAGA bubur lambuk, Abu Bakar Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Hassan.

PKP: Pak Hassan mahu guna e-hailing jual bubur lambuk

KUALA LUMPUR: Penduduk di sekitar ibu negara mungkin dapat terus merasai kelazatan bubur lambuk Kampung Baru pada bulan Ramadan ini, dengan memesan juadah itu menerusi aplikasi e-hailing.

Ia berikutan peniaga bubur lambuk, Abu Bakar Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Hassan, tetap berhasrat menyediakan juadah berbuka puasa paling popular itu, meskipun tiada bazar Ramadan tahun ini susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut Pak Hassan, 74, anaknya kini sedang berurusan dengan penyedia e-hailing seperti GrabFood dan Foodpanda, bagi membolehkan orang ramai dapat terus merasa bubur lambuk sepanjang Ramadan ini.

“Sekarang ini anak saya tengah uruskan untuk penjualan bubur lambuk secara dalam talian (menerusi aplikasi e-hailing)...saya tak tahu caranya.

“Aplikasi e-hailing ini sangat bagus kerana memberi alternatif kepada peniaga tradisional seperti saya, untuk terus berniaga dalam keadaan wabak coronavirus ketika ini.

“Bagaimanapun, bubur lambuk yang dapat saya sediakan mungkin terhad dan tidak seperti tahun sebelumnya memandangkan beberapa kekangan dan sekatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Pak Hassan yang memiliki warung menjual nasi lemak dan roti canai di Kampung Baru, adalah antara beberapa individu yang berkemahiran memasak bubur lambuk menggunakan resipi bubur lambuk Kampung Baru.

Beliau mula belajar memasak bubur lambuk ketika menjadi tukang masak kontrak juadah berkenaan di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, sebelum memulakan perniagaan sendiri.

Jelas Pak Hassan, beliau menjangkakan dapat menghasilkan sekitar lima periuk bubur lambuk setiap hari dalam tempoh PKP dilaksanakan pada Ramadan tahun ini, berbanding 30 periuk tahun lalu.

Katanya, lima periuk itu boleh menghasilkan kira-kira 1,250 bungkus bubur lambuk, dengan setiap bungkus dijual pada harga RM2 bagi bungkusan plastik, dan RM2.50 untuk yang dibungkus menggunakan bekas makanan.

Beliau juga sudah membeli beberapa barangan asas untuk membuat bubur lambuk seperti rempah, namun belum membeli barangan utama seperti beras dan barang basah.

“Selain jual kepada umum, saya juga membuat bubur lambuk untuk yang membuat tempahan. Sebahagian bubur lambuk akan diberi percuma jika ada yang mahu menyumbang,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Pak Hassan, penjualan bubur lambuk itu tetap tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa, kerana beliau tidak mampu untuk menyiapkan juadah itu secara sendirian.

“Kalau dibenarkan, jumlah pekerja yang membantu perlu dihadkan, sekali gus jumlah bubur lambuk juga terhad.

“Jika tak dibenarkan, ini adalah kali pertama saya tidak sediakan bubur lambuk sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lalu. Tapi, kita faham keadaan sekarang dan tidak salahkan sesiapa,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X