Selasa, 21 April 2020 | 9:47am
Usaha mengesan penularan COVID-19 di negara ini masih giat dijalankan KKM
Usaha mengesan penularan COVID-19 di negara ini masih giat dijalankan KKM

COVID-19: Perang selagi tiada vaksin

KUALA LUMPUR: Sejak dua minggu lepas, penurunan kes positif COVID-19 yang konsisten memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemulihan wabak itu di negara ini semakin memberangsangkan.

Perkembangan ini jelas menunjukkan petugas barisan hadapan kesihatan dan penguat kuasa telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang, namun matlamat itu tidak akan dicapai sepenuhnya sekiranya rakyat masih lagi mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hal ini kerana selagi tiada vaksin untuk merawat COVID-19, orang ramai perlu mementingkan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan, selain mengamalkan kebiasaan baharu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan seluruh dunia terpaksa memerangi COVID-19 sehingga tahun depan, bermakna masih ada kira-kira lapan bulan sehingga negara benar-benar bebas daripada cengkaman pandemik maut ini.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan 36 lagi kes positif COVID-19 dikesan, dan tiada rekod kematian baharu dicatatkan, yang merupakan satu kejayaan besar buat petugas kesihatan yang bertungkus lumus dalam perjuangan mereka mengesan dan merawat pesakit COVID-19.

Penurunan jumlah kes harian itu adalah hasil tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutamanya dalam tempoh beberapa minggu lepas, iaitu hasil kerjasama penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai agensi lain.

Di sebalik berita gembira itu, Dr Noor Hisham mengingatkan tidak mustahil kes baharu boleh meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang terutamanya apabila pengesanan kes masih giat dijalankan ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, serta kemunculan kes di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan satu lagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur, menjadikan jumlah enam kawasan setakat ini yang dikenakan PKPD.

Sekiranya mahu melihat COVID-19 kekal konsisten terkawal, dan mahu PKP ditamatkan dengan segera, maka duduk rumah diam-diam, patuhi arahan PKP sepanjang krisis ini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X