Rabu, 22 April 2020 | 5:43pm

COVID-19: Usah kunjung-mengunjung, elak Kluster Pengerang berulang

PUTRAJAYA: Orang ramai sekali lagi diminta tidak melakukan kegiatan kunjung-mengunjung ke rumah rakan serta saudara-mara supaya kejadian seperti Kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau tidak berulang.

Dalam Kluster Pengarang, seorang individu mempunyai gejala COVID-19 melakukan perjalanan merentas beberapa negeri berjumpa saudara-mara, sekali gus menjangkiti 15 kontak rapatnya termasuk ibu dan anak perempuannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kegiatan kunjung-mengunjung itu seperti perjalanan merentas negeri, daerah dan mukim atau menghadiri perhimpunan besar-besaran termasuk majlis keagamaan dan majlis keraian.

“Mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 dalam Kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau, masyarakat diminta untuk kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka perlu mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah rakan dan saudara-mara.

“Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir aktiviti seperti ini yang sememangnya sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia, akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ahli keluarga terutama golongan warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengumumkan terdapat kluster baharu dikesan di Pengerang apabila seorang individu mempunyai gejala COVID-19 melakukan perjalanan merentas beberapa negeri berjumpa saudara-mara.

Berikutan itu, individu terbabit sudah menjangkiti 15 kontak rapatnya, iaitu 10 rakan sekerja dan lima ahli keluarga termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X