Rabu, 22 April 2020 | 6:01pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mewakili Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima sumbangan wang tunai untuk Tabung COVID-19 daripada STS Port Sdn Bhd, diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Shahrul Amirul Sivagnanam di ibu pejabat NADMA hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datin Mastura Yazid (kiri) dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Abdul Rahman (kanan). - Foto BERNAMA

70 peratus sumbangan Tabung COVID-19 diagih melalui JKM

PUTRAJAYA: Sebanyak 70 peratus daripada sumbangan yang diterima untuk Tabung COVID-19 diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala selebihnya disimpan untuk membeli keperluan bagi membendung pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata sumbangan yang diterima untuk Tabung COVID-19 turut diagihkan kepada waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut mengedarkan keperluan perlindungan COVID-19 kepada petugas barisan hadapan di hospital, pusat rawatan, pusat-pusat kuarantin dan jentera Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Mohd Redzuan ditemui selepas menerima sumbangan daripada tiga syarikat untuk Tabung COVID-19 di Ibu Pejabat NADMA di sini hari ini.

Syarikat STS Port Sdn Bhd menyumbang wang tunai RM1 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Shahrul Amirul Sivagnanam.

Turut menyumbang wang tunai RM1 juta ialah LBS Bina Group Berhad. Replika cek disampaikan kepada Mohd Redzuan oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San dan Sin Hock Min Foundation yang menyumbang set kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bernilai RM600,000.

Replika cek disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Yong Mun Tong.

Mengulas mengenai sumbangan yang diterima pada hari ini, Mohd Redzuan berkata, kerajaan menyambut baik dan berterima kasih atas peranan yang dimainkan oleh syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

Tabung COVID-19 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan COVID-19.

Sehingga hari ini jumlah kutipan Tabung COVID-19 ialah RM30.9 juta. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X