Rabu, 22 April 2020 | 6:23pm
MENTERI Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto Asyraf Hamzah

Jawatankuasa Kabinet Jaminan Makanan akan ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi merumuskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata subsektor makanan pertanian akan menjadi tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda meningkatkan jaminan makanan Malaysia dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi barisan hadapan pertanian.

Tumpuan akan merangkumi antara lain untuk memperkukuh rantaian bekalan makanan, meningkatkan sokongan dan perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi serta menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik, katanya dalam satu kenyataan mengenai Food Security and COVID-19: The Way Forward, hari ini.

Beliau berkata kementerian merancang untuk pasca COVID-19 dengan mencari pelbagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang untuk membantu barisan hadapan pertanian pulih daripada keadaan yang disebabkan oleh pandemik ini.

Kementerian, katanya juga akan terus memainkan peranan lebih aktif dalam mencari akses pasaran baharu dan pada masa yang sama membawa pelabur ke arah memajukan ekonomi dalam pertanian.

Beliau berkata dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Agro Makanan Negara (NAFP) 2.0 yang akan datang, kerajaan akan terus memacu pemodenan dalam subsektor makanan pertanian dengan memanfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Ini, katanya untuk meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan dengan meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik generasi muda agropreneur yang akan akhirnya menambah sumbangan nilai tambah pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata antara cabaran dalam sektor pertanian negara ialah kurangnya penggunaan jentera dan automasi, kebergantungan pada pekerja asing, kurang pelaburan dan dana swasta, kesukaran mengakses pasaran serta kekurangan benih berkualiti.

“Satu lagi rintangan utama untuk mencapai jaminan makanan ialah kebergantungan kita pada import daging, sayur-sayuran dan buah-buahan dari kawasan beriklim sederhana yang mengakibatkan defisit imbangan perdagangan makanan pertanian kerana kita membelanjakan lebih dari RM50 bilion untuk mengimport hasil ini,” katanya.

Beliau berkata paras kadar sara diri (SSL) bagi buah-buahan pada 78.4 peratus, sementara SSL untuk sayur-sayuran pada 44.6 peratus dan 22.9 peratus bagi produk daging.

Kiandee berkata, perlu ada perubahan paradigma dalam pertanian yang tidak boleh lagi dilihat sebagai industri 3D (kotor, berbahaya, susah), dan penglibatan generasi muda menjadi perkara utama ke arah IR4.0 dan memodenkan sektor pertanian di Malaysia melalui penggunaan teknologi dan teknik terkini.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 8.5 peratus petani berusia di bawah 40 tahun dan Program Agropreneur Muda di bawah kementerian telah menghasilkan lebih 5,000 usahawan.

Pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata rakyat tidak perlu membuat pembelian panik atau menyimpan stok kerana kementerian berusaha sebaik mungkin untuk memastikan rantaian bekalan makanan kukuh.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengakui usaha golongan barisan hadapan termasuk dalam sektor pertanian seperti petani, nelayan dan pengeluar makanan yang mendedahkan diri mereka kepada risiko untuk memastikan kesinambungan bekalan makanan pada masa pandemik kini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X